Pulut Kuning Muallimah hargai guru PASTI, KAFA

- Advertisement -

KUANTAN: Pemberian pulut kuning bersama rendang ayam istimewa menjadi tanda meraikan serta penghargaan dan ingatan kepada para asatizah dalam kalangan guru PASTI dan KAFA di DUN Tanjung Lumpur, di sini kelmarin.

Program sumbangan ‘Pulut Kuning Muallimah’ ini dipimpin Pengerusi Kelab Sahabat Prihatin Kuantan, Siti Aminah Abd Aziz yang turut disertai ADUN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Ketua Pemuda DUN Tanjung Lumpur, Mohd Asri Harun.

- Advertisement -

Lebih istimewa, juadah ini disediakan khas oleh isteri Ustaz Rosli sendiri, Fatimah Khalil dibantu oleh ahli-ahli Kelab Sahabat Prihatin Kuantan yang juga dikenali sebagai aktivis Ameerah Care dalam kalangan warga setempat.

Serahan bungkusan istimewa ini disampaikan menerusi kunjungan ziarah dari rumah ke rumah yang juga bertujuan mengeratkan kemesraan hubungan kalangan mereka, selain mengemaskini perkembangan kebajikan para asatizah itu.

“Program Pulut Kuning Muallimah ini diadakan sempena meraikan para asatizah dalam kalangan guru PASTI dan guru KAFA. Semoga dengan sedikit pemberian buah tangan ini dapat menambah keceriaan buat mereka. 

“Kebanyakannya jelasnya terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan ini. Justeru itu pihak Ameerah DUN Tanjung Lumpur berhasrat dapat bekerjasama dengan para asatizah ini.

“Khususnya dalam menjalankan program pendidikan mahupun kebajikan di peringkat DUN mahupun PAS Cawangan. Saya juga menyeru kepada semua guru turun bersama kami di lapangan bagi mengeratkan lagi hubungan ukhuwah,” ujar Siti Aminah yang juga Ketua Ameerah DUN Tanjung Lumpur.

Bagi yang ingin bersama memberi sumbangan bantuan PKP 3.0 boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 06019010120235 atas nama Kelab Sahabat Prihatin Kuantan dan pertanyaan huhungi 012-9596578 atau 01158741464. – HARAKAHDAILY 20/7/2021

- Advertisement -