Sumbangan ADUN Beserah beri kelegaan buat asnaf

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Kehidupan warga asnaf terus menjadi perhatian dan disantuni menjelang Hari Raya Aidil Adha menerusi sumbangan keperluan dibuat oleh ADUN Beserah, Andansura Rabu di sekitar DUN ini, di sini semalam.

- Advertisement -

Sebanyak 700 ekor ayam dan 700 kilogram daging telah diagihkan dengan harapan agar bantuan ini dapat menceriakan kalangan mereka yang sedang terkesan dalam suasana pandemik COVID-19 melanda sekarang ini. 

“Kita harap sedikit sebanyak boleh membantu meringankan beban mereka, terutama ketika sedang menghadapi masalah ekonomi sekarang ini. Kita boleh kata juga untuk kegunaan menyambut Hari Raya Aidil Adha, yang penting dapat memberi sedikit kelegaan buat mereka,” katanya. 

Menurut beliau, sebanyak RM20,000 telah dibelanjakan untuk program ini, di mana setiap keluarga menerima seekor ayam dan sekilogram daging. 

“Kita tidak mampu nak beri ramai, kita hanya dapat beri bekalan setakat 700 keluarga sahaja” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang. 

Sebelum ini agihan barangan kering telah dibuat sebanyak 3,000 beg sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Perikatan Nasional Persekutuan, individu dan NGO-NGO. 

“Kita terima dan kita agihkan semuanya kepada mereka yang layak menerima tanpa mengira latar belakang parti politik,” tambah beliau lagi. 

Seorang ibu tunggal tujuh anak, Siti Aidil Fitri Ramli dari Kampung Beserah berkata, bantuan ini sangat membantu keperluannya anak beranak yang belum mampu untuk berdikari dalam musim COVID-19 sekarang ini.

Siti Aidil Fitri yang kematian suami pada bulan Januari tahun lepas, berita-cita untuk membuka warung di hadapan rumahnya, namun tidak kesampaian berikutan kekangan yang ada ketika ini. 

Seorang lagi penerima, Abdul Rahman Atim dari Taman PSJ Sungai Karang berkata, bantuan ini walaupun dianggap kecil namun ianya sangat bermakna buat beliau sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan dalam tempoh tertentu. 

“Ianya juga menunjukkan sikap prihatin kerajaan kepada rakyat yang terkesan, selain dari bantuan boleh mengeluarkan wang (KWSP), rebat elektrik, kawalan harga minyak dan sebagainya.

“Ini sangat meredakan bebanan kepada rakyat,” katanya lagi yang hanya mendapat separuh gaji sebulan sebagai pekerja di sebuah hotel yang berhampiran di rumahnya. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -