Bantu rakyat ketika jadi pembangkang, kerajaan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS sentiasa memenangi hati rakyat dalam usaha menjaga kebajikan mereka tanpa mengira masa sama ada ketika menjadi kerajaan atau pembangkang.

Begitu juga apa yang berlaku di Perlis, dua orang Ahli Dewan Undangan (Adun) yang dipilih rakyat khasnya di Dun Sanglang dan Guar Sanji sentiasa berusaha menyelami keperitan yang dirasai rakyat sejak dahulu hingga sekarang.

Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli berkata beliau telah mengedarkan lebih 2500 bakul makanan kepada penduduk terjejas di seluruh Dun berkenaan.

- Advertisement -

“Bakul makanan yang diterima sebahagiannya melalui Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Senator dan sumbangan peribadi.

“Kesemua bakul makanan yang diterima kita akan serah kepada penduduk terjejas melalui program ziarah,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya hampir setiap hari beliau dan petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) mengadakan program ziarah bagi memastikan tiada penduduk terputus bekalan makanan.

“Untuk individu atau keluarga yang menjalani proses kuarantin pula, kita akan hantar bekalan makanan kepada mereka.

“Begitu juga ada yang datang sendiri mengambil keperluan harian di PKWR,” katanya.

Begitu juga Adun Dun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim yang mengambil pelbagai pendekatan bagi memastikan tiada penduduk khasnya di Dun tersebut tercicir daripada mendapat bantuan.

“InsyaAllah kita bekerjasama dengan semua pihak, termasuk masjid, pengurusan Jawatan Kuasa Kerja Kampung (JKKK), ketua cawangan dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada mendapat bantuan.

“Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang terjejas pendapatan, warga emas serta orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Sementara itu rata-rata penerima yang ditemui menarik nafas lega dan bersyukur dengan bantuan makanan asas yang diagih wakil rakyat.

Inisiatif untuk mengurangkan beban golongan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam usaha membantu rakyat bagi memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) tercapai. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -