Dana Prihatin bantu guru PASTI terjejas PKP

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kebajikan guru dan kakitangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) terus dibela khususnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Hasil kutipan orang ramai bagi mengisi Dana Prihatin PASTI Perlis yang dilancarkan baru-baru ini, diserahkan kepada warga PASTI secara pandu lalu di Kompleks PAS Perlis pada Ahad lepas.

Pengarahnya, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berkata seramai 130 guru PASTI hadir menerima sumbangan berupa wang tunai dan pek sumbangan.

- Advertisement -

“Sebanyak 160 pek barangan makanan disediakan kepada warga PASTI, termasuk guru dan pembantu guru, manakala sumbangan wang tunai pula disalurkan terus ke akaun bank.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin seperti Badan Perhubungan PAS Perlis, HPA Industries dan Nas Madi Processing,” katanya ketika dihubungi.

Di kawasan Arau pula program Pereyuk PASTI diadakan sekali lagi setelah kejayaan pada siri pertama yang diadakan sebelum ini.

Pengerusi PASTI Arau, Abdul Hadi Halipah berkata pelbagai bentuk bantuan digerakkan oleh pihaknya bagi membantu warga berkenaan yang banyak berkorban untuk menjayakan institusi tersebut.

“Pereyuk PASTI menemui kejayaan pada siri pertama, dan pada 15 Julai sekali lagi kita mengadakan program tersebut sebagai menghargai jasa guru dan penggerak PASTI khasnya di Kawasan Arau.

“Pada kali ini, kita mendapat kerjasama daripada Lajnah Kebajikan PAS Arau, Dewan Pemuda PAS Arau dan juga Alternative Riding Club (ARC) Arau,” katanya.

Menurutnya lagi, program tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung kebajikan PASTI Kawasan Arau.

Turut hadir hadir pada majlis tersebut, Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Kebajikan PAS Arau, Roseli Man.

Begitu juga di Kangar, majlis serahan sumbangan kepada guru PASTI di kawasan itu dilakukan secara pandu laju di Pusat Tarbiah PAS Kangar, Batu Dua Lama dekat sini pada 16 Julai lalu.

Sumbangan disampaikan Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya dan Setiausaha PAS Kawasan Kangar, Abdul Jamil Khamis.

Abdul Jamil berkata sumbangan tersebut bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh para guru ketika ini.

“Tidak dapat dinafikan, pelaksanaan PKP sejak dua tahun kebelakangan ini memberi impak yang besar kepada seluruh warga PASTI.

“Atas dasar keprihatinan, PAS Kawasan Kangar mengambil inisiatif memberi bantuan berupa barang makanan bagi meringankan mereka untuk menyambut Sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -