Kelantan tarik pelaburan RM600 juta ketika PKP

Baidzawi Che Mat
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Penutupan sempadan akibat penularan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan usaha kerajaan untuk menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) terjejas.

Bagaimanapun Kelantan berjaya menarik pelaburan langsung domestik (DDI) yang agak tinggi dan memberi kesan positif terhadap pemulihan sosioekonomi negeri tahun ini.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan yang bernilai RM600 juta itu berpotensi menjana 1,836 peluang pekerjaan baru.

Selain itu, katanya 660 lagi peluang kerjaya bagi sektor keusahawanan kepada rakyat Kelantan dalam suasana pandemik.

“Pelaburan terbesar di Kelantan tahun ini dengan pembinaan sebanyak 247,830 panel solar terapung yang terbesar di Asia Tenggara, terletak di Danau Tok Uban, Pasir Mas yang mampu menjana 140,000 megawatt perjam (MWh).

“Kelantan berjaya menarik DDI sewaktu pandemik dan ini menunjukkan keyakinan syarikat-syarikat tempatan terhadap potensi dan daya saing negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Projek yang dilancarkan pada April lalu mampu memberi manfaat kepada 46,480 isi rumah, dilaksanakan Cypark Resource Berhad (Cypark) dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada majlis perasmiannya berkata, pembinaan solar terapung itu secara tidak langsung dapat menjimatkan kira-kira 96,600 tan metrik karbon dioksida yang dihasilkan setiap tahun.

Kata beliau projek bernilai kira-kira RM600 juta itu, merupakan komitmen kerajaan negeri bagi merealisasikan visi Pelan Induk Pembangunan Mampan Kelantan iaitu sentiasa dilimpahi keberkatan, kemakmuran dan kebajikan. – HARAKAHDAILY 13/7/2021

- Advertisement -