Era pemulihan Malaysia

- Advertisement -

PELANTIKAN YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein yang dilantik sebagai Menteri Kanan merupakan salah satu pemulihan total Malaysia. Negara yang sejak dahulu dibayangi oleh individu-individu yang gila kuasa dan kemaruk kerusi, serta penuh dengan skandal-skandal yang amat mencarikkan hati rakyat.

Puluhan tahun politik Malaysia dicorak dicatur perjalanannya semata-mata demi kelangsungan ‘Survival Politik’ individu tertentu yang kerap mengheret rakyat keseluruhannya sebagai mangsa di dalam kemelut yang tiada noktah. Perjuangan yang berkisar agenda peribadi bukannya perjuangan yang membawa aspirasi rakyat untuk di angkat dan diperjuangkan. Rakyat terus dibiarkan untuk menerima tempias kotor percaturan politik yang membosankan. Negara dibiarkan terus terumbang-ambing belayar tanpa arah tuju.

- Advertisement -

Jika ditanya apa yang rakyat mahu? Jawapannya – rakyat mahukan keselamatan nyawa agar dapat diteruskan kehidupan tanpa diganggu dengan apa-apa tambahan masalah baharu. Rakyat ingin rasa tenteram dah bahagia di bumi penuh bertuah dan kaya hasil mahsolnya. Rakyat inginkan perpaduan di bumi penuh keunikan bangsa dan budaya. Rakyat inginkan ‘had merah’ sesama agama, bangsa dan budaya dihormati.

Rakyat secara keseluruhannya sudah muak dan loya dengan permainan politik yang tidak bernoktah. Mukadimah percakaran antara parti-parti dalam komponen PH yang akhirnya membawa kepada kemelut negara yang melanda khususnya selepas peletakan jawatan oleh Tun Mahathir. Sehubungan itu, kerajaan baharu yang dibentuk menerusi Perikatan Nasional (PN) perlu mengorak langkah yang lebih baik dengan tidak mengurangi kesilapan Kerajaan PH.

Namun, bibit-bibit haloba pangkat dan jawatan individu yang sering menghiasi onak duri kemelut negeri kian berkembang. Satu ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas memperolehi majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan. Dakwaan jumlah kerusi dan nombor ini adalah mainannya sejak sekian lama. Apa motifnya? Hanya sekadar untuk mewajahkan pentadbiran Kerajaan PN lemah? Atau sekadar meraih publisiti politik murahan? Atau merasakan diri kian diboikot oleh rakyat? Lalu perlu tindakan luar biasa untuk mengembalikan hayatnya di dalam kancah politik tanah air.

Iklim hangat politik negara kian meletus apabila tangkap layar ciapan laman sosial Twitter Shamsul Iskandar pada 3 Julai lalu menjelaskan kerjasama Umno-PH-BN dibentuk melangkaui kepentingan politik, sebaliknya demi rakyat. Sekali lagi rakyat cuba diheret untuk menghalalkan agenda tidak bertanggungjawab demi kepentingan dan kelangsungan politik individu yang amat memualkan.

Namun jajaran songsang itu mendapat kritikan pedas dari pelbagai pihak. Antaranya, penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling menyifatkan semua individu terlibat dengan usaha penubuhan kerajaan baharu pada saat rakyat menderita akibat krisis COVID-19 ketika ini, bakal tercatat dalam sejarah sebagai mementingkan laba politik, sekiranya berkeras mahukan perkara itu berlaku.

Jelas beliau, para pencatat sejarah akan menyimpulkan masalah dihadapi negara pada sepanjang krisis COVID-19 ketika ini, bukannya berpunca daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) semata-mata, tetapi tabiat segelintir pemimpin politik yang masih mahu berpolitiking bagi menjayakan jajaran baharu.

Jika masih ada orang sibuk hendak buat jajaran baharu pada saat genting ketika ini, barangkali ada ahli politik yang akan menjadi mangsa kemarahan rakyat. Jelas, rakyat kian mual dan loya dengan permainan individu yang ‘bertuhankan’ laba politik sebagai darah daging perjuangannya.

Mudahan, dengan pelantikan TPM ini, akan melenyapkan bayangan figura-figura laba politik di dalam kemelut pentadbiran tanah air. Rakyat semestinya mengharapkan Malaysia akan bangkit gagah dan perkasa dalam menghadapi kemelut COVID-19 seterusnya ingin melihat proses fasa pemulihan negara, ekonomi dan politik dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Justeru, demi rakyat dan negara, ketepikan politik buat seketika. Fokuskan proses pemulihan negara.

Itulah harapan rakyat.

“Bangkit Bersama”
“Pemulih Negara”

JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 8/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000629532241/posts/4385646631466278/

- Advertisement -