15 PPV bukan kesihatan dibuka di Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sebanyak 15 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan kesihatan akan dibuka di Kedah melibatkan kapasiti untuk 9,200 dos suntikan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pada Julai ini empat PPV bukan kesihatan itu akan mula beroperasi dan dijangka mampu menampung  kapasiti suntikan kepada 2,600 penerima.

Selain itu pembukaan pusat suntikan Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bertempat di Sport Centre mulai 10 Julai 2021 untuk 30,000 pekerja Kulim Hi-Tech Park (KHTP) akan diadakan.

- Advertisement -

“Pemberian vaksin itu juga akan melibatkan 18,000 pekerja sektor industri dari luar kawasan KHTP,” jelasnya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya lagi, melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Kedah menyasarkan seramai 2,185,100 penduduk melibatkan warganegara dan bukan warganegara  menerima vaksin Covid-19 masing-masing.

Justeru itu satu lagi PIKAS akan dibuka di Kedah Industrial Skills and Management Development (KISMEC) dan Kilang Minibea Electronics Motor (M) Sdn Bhd secara serentak untuk pekerja industri Daerah Kuala Muda.

Sebelum ini 11,900 penduduk dan pekerja di 76 buah kilang di dua lokaliti Daerah Kuala Muda iaitu Sungai Lalang dan Bakar Arang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 18 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, katanya PPV Integrasi di Langkawi International Convention Centre (LICC) akan ditubuhkan bagi membolehkan Pulau Langkawi mencapai herd immunity iaitu 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksin.

“Usaha ini akan untuk membolehkan sektor pelancongan di pulau itu dibuka semula melalui program gelembung hijau pelancongan menjelang September ini,” jelasnya lagi.

Sanusi mengumumkan program vaksinasi akan lebih menyeluruh di negeri ini apabila 52,000 dos bekalan vaksin diterima pada Julai.

Kedah juga kemungkinan akan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat berikutan usaha memenuhi nilai ambang giat diusahakan selain sudah mencapai jumlah vaksinasi lengkap lebih sembilan peratus. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -