Banjir kilat: Sistem perparitan Pulau Pinang gagal

Dua penghuni sedang mengharungi air akibat banjir.
- Advertisement -

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat gagal mewujudkan sistem perparitan Rancangan Tebatan Banjir yang kemas hingga menyebabkan acap kali berlaku banjir kilat.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan berkata, dakwaan itu dibuat berikutan sebahagian kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat hanya dalam masa 2 jam selepas hujan turun.

Sehubungan itu, beliau menyelar tindakan kerajaan negeri yang membenarkan aktiviti penggondolan, penarahan dan binaan di cerun bukit bagi pelaksanaan projek pembangunan mewah yang dipercayai menjadi punca kepada banjir kilat.

Katanya, situasi pembangunan projek-projek mewah itu telah menyebabkan tiada tumbuhan penampan yang bertindak memperlahankan pergerakan air turun ke kawasan yang lebih rendah.

Malah tambahnya, lebih menyakitkan pandangan kini apabila kawasan pantai juga turut dipenuhi lumpur.

Air mengalir deras di kawasan lereng akibat penggondolan bukit.

Terdahulu, hujan lebat sepanjang hari pada Isnin lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di negeri Pulau Pinang dilanda banjir kilat seperti di Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Batu Feringghi.

Sesetengah tempat turut dilaporkan mengalami banjir berlumpur dan selut.

Bencana itu juga telah menyebabkan kerosakan harta benda dan kediaman penduduk dengan anggaran kos kerugian kira-kira RM 5,000 bagi setiap rumah yang terjejas.

Selain itu kata beliau, banjir di Batu Ferringhi dilaporkan telah menjejaskan kira-kira 33 buah rumah di perkampungan berhampiran Kampung Mutiara dan Kampung Kubur.

Jenis kerosakan yang dihadapi dipercayai merupakan kerosakan barangan elektrik, peralatan keperluan harian penduduk dan lain-lain lagi, ujarnya.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan

Dalam perkembangan lainnya, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari mendakwa bahawa jumlah hujan sehingga 150 milimeter (mm) dalam masa dua jam itu adalah luar biasa dan menjadi antara punca banjir kilat di kawasan Batu Feringghi,Tanjung Bunga dan Tanjung Tokong.

Untuk rekod, Pulau Pinang pernah mengalami bencana banjir besar pada tahun 2017 yang turut melibatkan beberapa kawasan di sekitar Seberang Perai dan Pulau. – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -