Kerajaan akan terima lebih 12 juta dos vaksin – Dato’ Amzad

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Malaysia telah mencapai kemajuan yang sangat cepat dalam program vaksinasi, apabila menerima lebih banyak vaksin bermula bulan Julai ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, dalam bulan Julai ini kerajaan dijangka akan menerima lebih 12 juta dos vaksinnya.

Ini kerana, katanya berdasarkan rekod pada bulan Mei lalu purata suntikan vaksin hanya 50,000 suntikan sehari.

“Sepanjang bulan Mei lalu, purata suntikan sekitar 50,000 suntikan sehari tetapi pada bulan Jun puratanya 169,000 suntikan dan ini telah mengatasi sasaran Jun iaitu 150,000 suntikan.

“Untuk bulan Julai ini, kita akan cepatkan lagi suntikan kita sehingga 390,000 suntikan harian. Jangkaan bekalan vaksin pada bulan Julai ini sekitar 12 juta dos dan kita (Malaysia) baharu sahaja menerima sumbangan vaksin AstraZeneca sebanyak satu juta daripada kerajaan Jepun.

“Pada 5 Julai ini, kita akan terima pula sumbangan vaksin Pfizer daripada kerajaan Amerika Syarikat dan saya masih menunggu pengesahan tarikh untuk penerimaan sumbangan vaksin Sinovac daripada kerajaan China, sebanyak satu juta dos,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pesakit Kronik di Kampung Raja Baran Chendering, hari ini.

Menurutnya, pihak MOSTI juga telah meminta kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang agar meningkatkan kadar suntikan vaksin hariannya.

“Berdasarkan kunjungan kita (MOSTI) ke negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kami telah meminta setiap negeri supaya bersedia untuk melaksanakan kadar suntikan yang lebih tinggi.

“Kita mahu pencapaian ‘Herd Immunity’ 80 peratus sebelum kita memasuki musim tengkujuh ini. Setakat pembentangan yang dibuat oleh negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan jadual yang dibuat, Insya’Allah akan boleh dicapai,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu yakin kemampuan negeri ini boleh mencapai purata 13,000 suntikan sehari.

“Sebelum ini Terengganu pernah mencapai kurang daripada 150,000 dos sebulan dan untuk bulan Julai ini, kita (Terengganu) peruntukan sebanyak 440,000 dos.

“Jadi, ini akan membolehkan negeri Terengganu mencapai purata 13,000 suntikan sehari,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Perhubungan dan Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab dan Pembantu Khas Parlimen (DUN) Batu Buruk, Tuan Ngah Tuan Ahmad. – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -