Antara bendera putih dan memelihara iffah

- Advertisement -

BERIKUTAN isu bendera putih di dalam status saya semalam, saya mendapat pelbagai komen pro dan kontra, terima kasih semua dan saya kutip semuanya tanpa sedikitpun rasa marah kepada yang kontra kerana saya memahami ketulusan hati mereka yang mencadangkan sedemikian, walaupun ada yang mengambil kesempatan politik dengan cadangan tersebut.

- Advertisement -

Hari ini saya lanjutkan sedikit kenapa saya tidak bersetuju untuk ini dijadikan sebagai cara sebelum dari kita praktikkan dulu atau perbaiki cara sedia ada untuk membantu supaya menjadi lebih baik dan kemas dan dapat memelihara iffah orang yang memerlukan bantuan.

1. Islam ajar sifat iffah iaitu jaga air muka sendiri dan sememangnya ia fitrah. Orang malu untuk tunjukkan dia susah.

2. Kita nak uar-uarkan sedekah atau program sumbangan kita tiada salahnya kerana ia dapat menggalakkan orang lain turut membantu, firman Allah S.W.T:

إن تبدو الصدقات فنعما هي، وإن تخفوها وتؤتوها الفقراء فهو خير لكم

“Jika kamu zahirkan sedekah-sedekah kamu ia adalah sesuatu yang baik, dan jika kamu sembunyikannya dan menyerahkannya kepada orang fakir adalah lebih baik bagi kamu.”

Tapi nak suruh orang sebar kesusahan sendiri dengan angkat bendera, ia berat dan memalukan diri bagi orang susah. Maka ia bukan cara yang terbaik bagi orang susah untuk lakukannya. 

3. Memelihara iffah sangat penting dan dituntut, kerana itu bila terdesak sangat baik dia mengadu kepada orang yang dekat dan dikenali autoritinya seperti ibu bapa, adik beradik, saudara terdekat, tok penghulu, imam, waris, jiran, kawan dan akan sebut diam-diam agar kesusahannya sekadar diketahui dengan kadar yang sangat terhad.

4. Sifat iffah ini amat mulia dan diseru agama, kerana itu setiap Muslim ketika susah bersegeralah datang kepada Allah dengan doa dan solat mohon pertolongan dahulu sebagai rujukan utama, ketika ia terpaksa memohon pertolongan kepada manusia, maka biarlah dengan cara baik iaitu dengan cara memelihara iffah.

Meminta ini adalah sebahagian dari perbuatan yang dilarang agama kerana memelihara iffah, kecuali di kala teramat sukar dan tiada caranya kecuali meminta dan jangan meminta tanpa sebab:

Al Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Umar R.A, bahawa Nabi bersabda yang bermaksud:

“Sentiasalah seseorang itu meminta-minta sedekah sehingga dia datang pada hari Kiamat dalam keadaan tiada secebis daging di mukanya.”

Namun jika terpaksa dibolehkan meminta tetapi dengan kadar yang paling memelihara iffah. Kempen angkat bendera putih adalah seolah-olah tidak meraikan perasaan mereka. Apatah lagi kalau orang yang terputus bekalan itu adalah orang zahirnya kelihatan senang, punya rumah dan kenderaan yang baik tetapi terputus bekalan, kibaran bendera putih yang dilihat semua orang di rumahnya pasti akan mendatangkan fitnah walaupun dia sangat memerlukan.

5. Sejak zaman berzaman, apatah zaman Nabi S.A.W, orang susah datang kepada orang senang mengadu dan orang senang bertanya-tanya dan mencari orang susah. Cara ini lebih menyembunyikan mereka dari rasa malu dan kekal menjaga air muka dengan baik. Perasaan ketika meminta pastinya tidak sama dengan jika dia ditawarkan, kerana itu kitalah yang mesti berusaha untuk menyediakan bantuan di sana sini agar mudah bagi mereka untuk meminta bantuan dengan kadar diketahui oleh golongan terhad, jika masih juga ingin dan ketagih menaikkan bendera, saya mencadangkan agar orang-orang yang berkemampuan itulah yang menaikkan bendera sebagai maklum bahawa dia ada rezeki untuk disedekahkan, bila habis stok, turunkan semula, bila ada rezeki baru, naikkan, begitulah seterusnya.

6. Itulah sebab rangkaian jalinan dalam masyarakat dibentuk oleh agama dan kerajaan, ada penghulu, ada JK kampung, ada imam dan masjid, ada rukun tetangga dan lain-lain, begitu juga NGO yang sangat banyak, semua itu bertanggungjawab memastikan orang susah dikenal pasti dalam setiap masa, melalui mereka, kerajaan dan agensinya boleh bertindak cepat atau lambat, tahap perkhidmatan itu diperelokkan setiap masa.

Bendera terbaik bagi saya ialah talian hotline dan juga iklan yang menawarkan bantuan sama ada dari agensi kerajaan, swasta, NGO, syarikat perniagaan yang berkemampuan membantu dan lain-lain, biar orang susah hubungi atau datang mengambilnya kerana memang dah disediakan untuk mereka, hantar bagi yang tidak mampu datang, kita berusaha menyediakan kemudahan untuk mereka itu lebih baik dari mereka terpaksa menaikkan bendera putih untuk maklumkan kepada orang ramai bahawa ‘aku sedang susah, mari hantar bantuan ke rumah aku’.

Namun kalau ada juga yang kibarkan bendera putih dan kebetulan bertemu dengan saya, pastinya ketika itu saya akan bersetuju untuk membantu dengan apa kemampuan yang saya ada, sekian terima kasih.

Saya di bilik operasi hari ini, bagi masyarakat DUN Tanjung Lumpur yang perlukan boleh WhatsApp kami 011-59897556 Ameerah DUN Tanjung Lumpur

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
ADUN Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 30/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100003457375722/posts/3185585434900004/

- Advertisement -