Isu air: Mahukah rakyat Pulau Pinang jadi seperti Selangor?

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PADA 12 Mac, Utusan Malaysia melaporkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan amaran situasi tahap satu di negeri itu ekoran kapasiti di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam mencatatkan penurunan sejak 1 Januari lalu akibat musim kemarau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa, dalam tempoh 1 Januari hingga Mac, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang masing-masing menurun sebanyak 17.9 peratus dan dua peratus kerana hujan tidak mencukupi untuk memulihkan pelepasan harian.

Advertisement

Sementara itu pada Mei 2021, Kedah memberi amaran kemungkinan Pulau Pinang tidak lagi menerima bekalan air Sungai Muda, sekiranya terus membuat pelbagai helah bagi mengelak membayar caj air mentah dari negeri itu.

Dua maklumat ini cukup untuk menggambarkan bahawa Pulau Pinang bakal menghadapi krisis air yang dahsyat sekiranya Kedah dan Perak tidak menyalurkan sumber air ke negeri itu.

Namun, keegoaan, ketamakan mereka untuk melihat pembangunan demi pembangunan dibangunkan di Pulau Pinang untuk poket masing-masing diisi dengan wang pemaju, melupakan kepentingan untuk menjaga sekuriti air untuk rakyat Pulau Pinang.

Mahukah rakyat Pulau Pinang merasai derita sebahagian rakyat Selangor yang acapkali ketiadaan air?

Cleaner, greener Penang‘ adalah satu penyamaran Kerajaan DAP Pulau Pinang, kata Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaei Dato’ A Rashid.

Menurutnya kerajaan DAP Pulau Pinang seperti camouflage yang menjadikan kempen Cleaner, greener Penang sebagai satu wajah mereka, sedangkan tindak tanduk mereka adalah sebaliknya.

Jelasnya, caj penggunaan atau pembelian beg plastik di pasaraya Pulau Pinang adalah RM1 berbanding sebelum ini hanya RM0.20, kononnya untuk memelihara alam sekitar.

Seolah Pulau Pinang paling champion dalam bab menjaga alam sekitar, sedangkan sebaliknya mereka cuba merosakkan alam sekitar dengan pembangunan-pembangunan yang tidak diperlukan.

Sekiranya benar kerajaan DAP Pulau Pinang begitu concern mengenai Alam Sekitar, mengapa isu pencemaran Najis Babi di Pulau Pinang masih belum menemui jalan penyelesaian setelah 7 tahun mereka mentadbir negeri itu?

“Lihatlah Sungai Kereh, kenapa tidak boleh settle lagi? Kenapa belum selesai-selesai lagi? Berapa tahun dah DAP memerintah?

“Kalau hendak beri alasan masalah tu sebelum DAP memerintah lagi, selesaikanlah. Dah berapa tahun dah DAP memerintah Pulau Pinang.

“Kerajaan dahulu pun kita tak setuju juga, tetapi selesaikanlah. Kenapa tak selesaikan? Kenapa tak ambil serius isu Sungai Kereh?

“Sekarang ini bukan Sungai Kereh sahaja, di Nibong Tebal itu, kalau lalu di Tol Jawi itu, hendak bayar tol, buka tingkap, cuba sedut nafas situ, fuh,” ujarnya sambil berdemo.

Beliau dalam masa sama mempersoalkan apakah perkara yang membuktikan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang merupakan sebuah kerajaan yang memelihara alam sekitar.

Sungai Kereh, Nibong Tebal, Projek Tambakan Laut di Selatan Pulau Pinang dan banyak lagi menjadi bukti bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak peduli langsung mengenai alam sekitar.

Sementara itu, mengulas mengeni dua empangan di Pulau Pinang yang tidak mencukupi kapasitinya untuk menampung keperluan air rakyat Pulau Pinang, kata Ahmad Rafaie, kedua-dua empangan tersebut tidak mempunyai bekalan air yang cukup.

Hal itu berlaku disebabkan kawasan-kawasan tadahan air di Pulau Pinang sudah tidak dpat memerangkap air seterusnya menyebabkan air mengalir terus ke laut, katanya.

Jelas beliau, apabila kawasan-kawasan tadahan air di Pulau Pinang diteroka, akar-akar pokok yang memerangkap air untuk ditadah ke empangan sudah tiada.

Situasi itu menyebabkan tanah-tanah di kawasan tadahan menjadi tanah kosong dan tidak menampung atau mengandungi air, ujarnya.

“Hutan-hutan ini tempat kawasan tadahan hujan, apabila hujan turun, air tu dia akan serap masuk dalam tanah, bertakung.

“Jadi, apabila tidak ada pokok dan digantikan dengan pembangunan, tanah jadi kosong dan tiada perangkap air. Apabila tiada perangkap air, air akan keluar masuk dalam laut.

“Jadi empangan itu tidak dioptima penggunaanya sepenuhnya yang mengakibatkan tidak cukup untuk menampung keperluan air kepada rakyat Pulau Pinang,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau berpendapat, sepatutnya Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam dioptimakan penggunaannya dengan kerajaan negeri menjaga alam sekitar dan mengawalnya daripada dimusnahkan, ditebang pokok-pokok.

Membina empangan yang besar, namun tidak dapat dipenuhi dengan air adalah satu kerugian, kata beliau.

Malah, itu juga menimbulkan persoalan, dari mana kerajaan DAP Pulau Pinang akan mendapatkan sumber air untuk pembangunan PSR dan penambahan populasi setelah pulau tersebut sedia untuk didiami manusia.

“Itu menjadi persoalan. Jadi, mungkin solusi mereka ambil dari Kedah atau Perak. Sebab sekarang inipun tidak cukup air untuk rakyat Pulau Pinang sedia ada menggunakannya. Inikan pula hendak buat pembangunan.

“Pulau sendiri yang ada sekarang pun tidak cukup (air), bagaimana kerajaan boleh fikir untuk tambah lagi tiga pulau sebelum selesaikan masalah air? Bayangkan krisis air yang akan berlaku di Pulau Pinang, ” sindirnya.

Mengulas lanjut kata Ahmad Rafaie, pembangunan di Pulau Pinang berlaku secara tidak seimbang.

Katanya, tanah-tanah di sebahagian kawasan di tanah besar masih banyak yang belum dibangunkan dan dimajukan.

“Tanah punya banyak di sini, Kepala Batas, Penaga, kenapa nak tambak laut buat bangunan?

“Tindakan itu hanya akan meningkatkan kos hartanah di Pulau Pinang. Malah, pembangunan pulau buatan juga tidak diperlukan. Kenapa hendak buat perkara yang tidak perlu?” soalnya bertalu-talu.

Mahukah rakyat Pulau Pinang menjadi seperti di Selangor yang acap kali ketiadaaan air? – HARAKAHDAILY 10/6/2021