Usaha stabilkan harga minyak masak tidak bersubsidi

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meneruskan usaha untuk memastikan harga minyak masak tidak bersubsidi dapat distabilkan di pasaran.

Pagi tadi, beliau mengadakan perbincangan dengan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan beberapa pemain industri sawit terkemuka negara secara maya.

Pengurusan Kanan KPPK yang hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ravi Muthaya; Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Mad Zaidi Mohd Karli; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

- Advertisement -

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Dato’ Mohd Nageeb Abdul Wahab; Pengarah Urusan Kumpulan IOI, Datuk Lee Yeow Chor; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby, Mohamad Helmy Othman Basha dan wakil CEO FGV Holding Berhad, Azman Ahmad.

Menurutnya, fokus utama perbincangan selepas mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan bersama Kabinet itu menumpukan kepada syor dan cadangan yang konkrit dapat disepakati untuk memastikan rakyat dapat menikmati harga minyak masak yang berpatutan.

Selain itu, ia dapat memperoleh situasi menang-menang antara pemain industri, peruncit dan pengguna.

Semalam, beliau telah mengadakan perbincangan secara maya bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berhubung harga minyak masak di pasaran.

Menurutnya, perbincangan itu amat penting kerana ia berkaitan isu kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran.

Beliau berkata, usaha dan perancangan yang disusun akan dilaksanakan kerajaan bagi terus membantu rakyat.

“Kami mencapai kata sepakat untuk mengkaji mekanisme terbaik membabitkan semua pihak dalam industri minyak sawit,” jelas beliau.

Tambahnya, perkara itu akan dipanjangkan kepada Jemaah Menteri supaya harga minyak masak tidak bersubsidi dapat distabilkan di dalam pasaran. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -