Pemuda persenda Agong ditahan polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gara-gara memuat naik video live berkaitan lockdown penuh yang dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong seorang pemuda dilapor ditahan polis, malam tadi.

Sebelum itu video yang diberi tajuk ‘Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun Ini di YouTube rasmi miliknya, pemuda terbabit yang dikenali Iswardy Morni cuba menggambarkan baginda seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.

- Advertisement -

Pada video itu disebut “Tuanku, bangun tak, bangun tak bangun ini. Tahu tak apa sekeliling kita kes (Covid-19) jadi 8 ribu. Kita tahu makan di istana itu sedap, saya tidak pernah pergi kalau dijemput masuk nak juga,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Pemuda terbabit juga dikatakan membandingkan Yang di-Pertuan Agong dengan Sultan Johor yang mencadangkan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di Johor.

Video live itu turut dilapor mendapat tontonan sehingga 38,645 orang.

Pemuda terbabit yang juga Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak berusia 40-an dilapor Utusan ditahan di kediamannya di Kajang.

Suspek ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kira-kira pukul 11 malam tadi.

Sebelum itu terdapat laporan polis dibuat terhadap Iswardy terhadap video dimuat naik individu berkenaan di YouTube miliknya semalam.

Menurut polis kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -