SEMUA ajaran Islam bermatlamatkan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Menjaga lima perkara itu dinamakan maqasid Islam. Perkara yang mengganggu gugat lima perkara tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung diharamkan oleh Islam dan dikenakan hukuman yang berat. Untuk itu, Islam melarang semua kemudaratan dan menggesakan dilakukan kemaslahatan bertujuan menjaga lima perkara asasi itu.
Di antara kemaslahatan manusia ialah kebebasan bergerak dan kebebasan mencari nafkah hidup. Allah berfirman:
لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (2) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ (3) الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ (4)
Maksudnya: Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah)
(laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam),
Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,
Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.
Allah SWT memberi ingatan kepada Quraisy nikmat-Nya iaitu mereka bebas bergerak ke utara dan ke selatan mencari rezeki dan keamanan serta rezeki yang mencukupi.
Oleh itu tindakan menghalang kebebasan bergerak dan kebebasan mencari rezeki adalah bercanggah dengan ajaran Islam.
Di antara kemaslahatan manusia juga ialah kebebasan bergaul dengan manusia lain. Berkenaan hal ini Allah menceritakan tentang al Samiri iaitu musuh nabi Musa AS. Setelah al Samiri melakukan pengkhianatan melalui fitnah kepada Nabi Musa AS, Nabi Musa telah menghukumkan al Samiri dengan dipulau dan tidak boleh bersentuhan dengan orang lain.
Allah SWT berfirman:
لا مِساسَ
Maksudnya: Janganlah menyentuh aku oleh sesiapapun.
Al Samiri diarah agar menyatakan kepada sesiapa yang mendekatinya agar tidak menyentuhnya sebagai hukuman di atas kesalahannya. Pemulauan adalah satu hukuman manakala pergaulan adalah satu nikmat.
Oleh itu sebarang tindakan menghalang kebebasan bergaul adalah tindakan yang tidak dibenarkan.
Walau bagaimanapun jika sekiranya terdapat kemudaratan dalam pergaulan atau dalam mencari rezeki, pihak pemerintah boleh mengenakan sekatan sekadar yang perlu.
Sekatan atau lockdown boleh dikuatkuasakan jika ianya mengancam lima perkara yang menjadi matlamat syariat Islam iaitu nyawa, jiwa, akal, keturunan dan harta.
Ancaman tersebut hendaklah diteliti oleh jawatankuasa pakar yang membuat pertimbangan berkenaan tahap kemudaratan.
Pada hari ini, negara kita dilanda Covid-19 yang menyebabkan negara terancam dari sudut nyawa rakyat dan ekonomi.
Untuk menghindarkan ancaman tersebut, lockdown dikuatkuasakan sebagai salah satu usaha yang termampu.
Oleh kerana lockdown pada asalnya tidak dibenarkan kecuali ketika ada keperluan mendesak, maka ianya boleh dikuatkuasakan sekadar yang perlu sahaja.
Kaedah fiqh menyatakan:
الضرورة تُقَدَّر بقدرها
Maksudnya: Kemudaratan hendaklah dihadkan sekadar yang diperlukan.
Oleh itu, lockdown tidak boleh dikuatkuasakan melebihi kadarnya kerana ia boleh menjejas kehidupan. Oleh kerana lockdown ada dua keadaan iaitu lockdown penuh dan lockdown bersasar, maka pihak pemerintah perlu menguatkuasakan lockdown bersasar terlebih jika matlamat tercapai. Akan tetapi jika lockdown bersasar tidak memadai, maka bolehlah pihak pemerintah menguatkuasakannya sekadar yang perlu.
وصلى الله وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
والحمد لله رب العالمين
Wallahua’lam.
USTAZ TIRMIZI TAHA
Pusat Talaqqi Batu Rakit
30/5/2021 – HARAKAHDAILY 30/5/2021