Kes harian di Kelantan dijangka tidak capai empat digit

Datuk Dr Zaini Hussin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangka jangkitan Covid-19 secara harian sekitar antara 450 hingga 600 kes dalam tempoh dua minggu ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dato’ Dr Zaini Husin berkata, dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP Diperketatkan, jumlah kes dijangka tidak capai empat digit.

Begitu juga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan bermula hari ini jumlah kes harian dijangka sekitar tiga digit sahaja.

- Advertisement -

“Namun ia boleh melepasi 600 kes sekiranya penduduk tidak praktikkan SOP yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.

Ditanya mengenai majoriti warga emas yang gagal hadir pada janji temu fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kata beliau ia disebabkan mereka tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera.

Menurutnya majoriti mereka memberi maklum balas tidak sedar biarpun sudah menerima notifikasi tarikh janji temu yang ditetapkan.

“Ada juga yang tiada MySejahtera sekali gus tidak menerima pemakluman tarikh janji temu (TCA) suntikan vaksin.

“Malah turut memberi maklum balas notifikasi diterima lewat bukannya 14 atau tujuh hari sebelum TCA.

“Selain itu ada golongan warga emas yang hanya mengharapkan anak-anak, namun anak mereka sukar hendak dapat cuti atau pelepasan untuk hantar ibu bapa pada tarikh janji temu itu,” ujarnya.

Semalam anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin memberitahu hampir 10,000 individu di Kelantan yang tidak hadir pada janji temu yang ditetapkan untuk suntikan vaksin selepas mendaftar bagi fasa kedua.

Dr Zaini berkata, kebanyakan mereka tidak menolak vaksin namun hanya sekadar menunda TCA atas faktor kesihatan atau urusan penting yang tidak dapat dielakkan.

“Maklumkan awal sama ada menerusi hotline MySejahtera atau bilik gerakan PPV supaya kita dapat membuat perancangan untuk gantikan mereka dengan individu kategori sama bagi memastikan tidak berlaku pembaziran dos vaksin,” katanya.

Menurutnya juga Jabatan Kesihatan akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk menambah beberapa lagi PPV di kawasan tertentu serta meluaskan lagi program kesedaran mengenai vaksin Covid-19 di seluruh Kelantan.

“Setakat ini, sebanyak 19 PPV di Kelantan. Kita akan menambah lagi beberapa PPV sama ada secara bergerak atau statik,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -