ATM siap siaga ICU medan Hospital Kepala Batas

- Advertisement -

HARI ini saya meluangkan masa meninjau persiapan akhir Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas yang dijangka dapat beroperasi dalam minggu ini. Alhamdulillah, berkat kerjasama pihak KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), fasiliti ini dapat dibangunkan dalam masa yang cukup singkat bagi menampung keperluan rawatan pesakit COVID-19 di Pulau Pinang. Hospital Kepala Batas kini telah ditukar sepenuhnya menjadi hospital bagi rawatan COVID-19 sejak Februari lalu bagi menampung keperluan peningkatan jangkitan COVID-19 yang berlaku. 

Saya telah diberi taklimat oleh Lt Kol Dr Zamri Derahman, Komander ICU Hospital Medan serta Dr Norhasimawati Abdul Mutalib, Pengarah Hospital Kepala Batas mengenai operasi Field ICU ini. Ia turut disertai Dr Elizabeth a/p Anthony, Timbalan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang dan Encik Azman Ibrahim, Pengarah ICU Pulau Pinang.

- Advertisement -

Difahamkan bahawa ini merupakan kali pertama dalam sejarah ATM membina Field ICU seumpama ini dengan menggunakan konsep hibrid iaitu menjadikan kontena sebagai bilik rawatan. Field ICU ini juga akan dilengkapi dengan fasiliti bilik X-Ray, makmal modular, unit radiologi modular serta kemudahan 27 buah katil untuk merawat pesakit.

Selain daripada kemudahan yang telah disediakan oleh pihak KKM dan ATM, saya bersetuju meluluskan sejumlah peruntukan untuk menambah fasiliti sokongan melalui Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang seperti:

1. Menambah baik kawasan parkir dengan crusher run / tar serta pemasangan lampu kawasan tempat letak kereta di kawasan padang;
2. 5 unit mobile screen partition;
3. Air cooler di Step Down COVID Centre (SDCC) bagi tujuan ventilasi ruang kerja anggota di SDCC;
4. 4 unit Sterile Aire Enhanced UVC Kits bagi tujuan air disinfection agar nyahkuman dapat dioptimumkan; dan
5. Khemah bergerak bagi keperluan petugas KKM dan ATM dari zon merah ke zon hijau.

Terdahulu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas juga telah melengkapkan Field ICU ini dengan meja dan kerusi untuk kegunaan para frontliners dan pesakit. Saya rakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya KKM dan ATM yang telah membina Field ICU di Hospital Kepala Batas ini. 

Mudah-mudahan, kemudahan ini akan dapat membantu rakyat yang memerlukan dalam usaha kita melawan penularan COVID-19. Marilah kita terus panjatkan doa diserta usaha pematuhan SOP, agar penularan COVID-19 ini segera berlalu pergi dan kita semua terhindar daripada ancaman daripadanya. Insya-Allah. Amin.

DATO’ SRI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Menteri Belia dan Sukan – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -