Varian baharu Covid-19 bawa gejala lebih teruk

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Varian baharu Covid-19 dikenal pasti menjadi antara punca lebih ramai golongan muda dijangkiti wabak itu dengan gejala yang dialami lebih teruk sehingga menyebabkan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata sejak awal tahun ini hingga semalam, jangkitan Covid-19 tertinggi melibatkan mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun iaitu 1,531 kes manakala bagi 30 hingga 39 tahun pula sebanyak 1,452 kes.

Advertisement

“Ini adalah usia bekerja. Pakar-Pakar di Hospital Sungai Buloh mengesahkan jangkitan varian baharu adalah dari usia muda yang menyaksikan ada kes yang tidak terkesan dengan rawatan yang diberikan contohnya guna steroid juga tidak berkesan,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, KKM mengesan 56 kes varian yang membimbangkan (VOC) dan tiga kes varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) di negara ini.

Daripada jumlah itu, 48 kes adalah daripada varian Afrika Selatan (B.1.351), lapan kes daripada varian United Kingdom (B.117), dua kes daripada varian Nigeria (B.1.525) dan satu kes varian India (B.1.617.1).

“VOC ini telah ada dalam komuniti, sebagai contoh kes varian B.117 di Sandakan, kita tidak dapat kenal pasti daripada mana jangkitan diperoleh.

“Varian baharu ini lebih ganas, jika ia menjangkiti golongan muda, KKM akan jalankan pemerhatian dan penjujukan genom untuk kesan varian apa,” katanya sambil menambah virus Covid-19 ini beradaptasi menjangkiti manusia dengan varian baharu.

Justeru, Dr Noor Hisham meminta masyarakat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan serta tidak melakukan perjalanan rentas negeri bagi memutuskan penularan Covid-19.

“Apa yang boleh dilakukan ialah duduk di rumah kerana jangkitan sekarang berlaku dalam komuniti serta kes sporadik,” katanya. – BERNAMA