Penularan varian South African di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keadaan kritikal Covid-19 di Kelantan menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil keputusan membuka hospital medan serta menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri itu.

Ia berikutan peningkatan kes Covid-19 di Kelantan masih tidak menunjukkan sebarang trend penurunan, malah mencatat antara angka tertinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, fasiliti di Kelantan sama ada membabitkan peralatan hospital serta PKRC sudah hampir penuh menunjukkan dalam keadaan kritikal.

Malah katanya, Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU turut terpaksa ditempatkan di wad biasa.

- Advertisement -

“Semua PKRC penuh, fasiliti hospital berada dalam keadaan kritikal dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital sudah mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU terpaksa ditempatkan di wad biasa.

“PKRC yang sedia ada juga sudah hampir penuh dan hospital medan serta PKRC yang akan dibuka ini hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) hari ini.

Mengulas lanjut katanya, situasi itu menunjukkan Kelantan semakin kritikal dan pada masa terpaksa memohon bantuan daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (MKN) negeri lain.

Beliau juga berkata, penularan varian South African B.1.351 di Kelantan dipercayai berpunca daripada aktiviti rentas negeri membabitkan pergerakan keluar masuk rakyat negeri ini.

“Kita dikejutkan dengan varian baharu iaitu varian Afrika. Varian ini sangat bahaya, ada beberapa kesan berkaitan varian terbabit.

“Antaranya kebolehjangkitan superspread terlalu tinggi, mengurangkan imuniti menyebabkan jika terkena jangkitan akan jadi lebih teruk berbanding yang sedia ada serta ia mengurangkan protection (imuniti menurun),” katanya.

Justeru itu, beliau mengajak rakyat Kelantan dan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya dalam memutuskan rangkaian Covid-19 dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -