PAS Pekan beri sumbangan buat asnaf dan amilin

- Advertisement -

PEKAN: Setiap tahun sudah menjadi tradisi bagi PAS Kawasan Pekan mengadakan program iftar, bacaan Yaasiin dan tahlil, namun pada tahun ini ia diadakan secara sederhana di Madrasah Al-Husna Jalan Rompin Lama, di sini semalam.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, program yang cukup signifikan ini masih boleh diadakan dalam skala kecil pada tahun ini di mana pada tahun lepas telah dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis yang bertujuan menyampaikan sumbangan dan penghargaan kepada asnaf dan amilin ini telah dihadiri oleh kira-kira 50 orang pimpinan PAS daripada semua DUN dan wakil-wakil institusi di bawah PAS.

Bermula dengan majlis berbuka puasa, disusuli solat sunat tarawih dan tahlil ringkas, kemudiannya diteruskan kepada penyampaian sumbangan peruntukan untuk asnaf kepada wakil empat DUN.

Masing-masing wakil penerima bagi DUN iaitu Bebar, Kapten(B) Ahiatuddin Daud dan Chini, Ustaz Jalaluddin Mat Yatim, manakala Pulau Manis, Kapten(B) Zainuddin Noh dan Peramu Jaya, Ustaz Abu Kassim sendiri.

Sementara itu, semua amilin PASTI, SRITI, TASTI, Maahad Tahfiz Lil Banat dan Maahad Tahfiz Lil Banin yang masing-masing di bawah institisi Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama PAS Pekan juga tidak ketinggalan menerima sumbangan.

“Terima kasih di atas segala khidmat dan bakti anda sebagai amilin di bawah institusi atau jabatan PAS Kawasan Pekan. Semoga sumbangan anda dinilai sebagai amalan baik di sisi Allah S.W.T,” ujar Ustaz Abu Kassim.

Beliau turut merakam penghargaan kepada semua penyumbang untuk tabung asnaf dan amilin yang mana dengannya dapat dikongsi dan disebar luaskan melalui keprihatinan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan.

Majlis berlangsung secara ringkas dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 itu berakhir sekitar jam 10.00 malam. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -