Tidak pakai pelitup punca muncul kluster tadarus

- Advertisement -

ALOR SETAR: Wujud pula kluster baharu yang dipercayai berpunca daripada aktiviti bertadarus di Kedah memandangkan peserta program itu kebanyakannya tidak memakai pelitup muka.

Selain itu mereka juga didapati mengabaikan penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, Jabatan Agama Islam akan memantau isu berkenaan untuk memastikan aktiviti tadarus di masjid dan surau mematuhi SOP yang disarankan.

- Advertisement -

“Sekiranya hal ini diabaikan kita bimbang kebenaran solat tarawih juga ditarik balik sedangkan aktiviti tadarus begitu baik bagi mengimarahkan Ramadan.

“Kalau boleh tak mahulah solat tarawih macam Ramadan tahun lepas di mana hanya tiga orang sahaja dibenarkan jemaah di masjid,” kata beliau ketika ditemui di majlis perasmian sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Jabatan Kesihatan Kedah (JKN) semalam.

Kebelakangan ini berlaku peningkatan kes baharu Covid di Daerah Kota Setar yang melibatkan mukim Derga dan Mergong.

Oleh itu Dr Mohd Hayati mengajak orang ramai terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berikut kes positif Covid-19 di Kedah semakin meningkat.

Kata beliau juga tiga sekolah iaitu satu di Daerah Kota Setar dan dua di Baling diarahkan tutup ekoran kes wabak tersebut.

Penutupan itu selama tujuh hari berkuatkuasa 26 April lanjutan dari arahan penutupan selama tiga hari sebelum ini.

Dalam masa yang sama beliau juga menasihatkan pengunjung Bazar Ramadan agar jangan membawa anak kecil bersama dan patuhi SOP yang ditetapkan.

“Peniaga boleh patuh SOP cuma kadang-kadang para pembeli dan pengunjung kurang patuh terhadap arahan ditetapkan kerajaan,” sambungnya. – HARAKAHDAILY 26/4/2021

- Advertisement -