Langkah Kelantan batal bazar Ramadan tepat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah kerajaan Kelantan membatalkan bazar Ramadan di seluruh negeri itu dianggap tepat ekoran penularan pandemik Covid-19 sekarang.

Malah Kelantan mencatat kes positif harian tinggi iaitu 226 hari ini meningkat berbanding 221 kes semalam. Pada Rabu lepas pula dicatat 103 kes.

Seorang penduduk Mohd Zainuddin Hassan, 55 berkata, walaupun kerajaan menutup bazar Ramadan, namun peniaga masih mempunyai pilihan lain seperti berniaga di tepi jalan atau mengambil tempahan secara atas talian.

- Advertisement -

“Kita bernasib baik kerana tiada bazar Ramadan tahun ini seperti diputuskan kerajaan baru-baru ini. Ketika tiada bazar Ramadan pun jumlah kes Covid boleh memcecah lebih 200 kes.

“Lagi pun peniaga sekarang mempunyai banyak pilihan untuk berniaga, bukan dengan bazar sahaja. Banyak kemudahan lain lagi kita boleh mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini kerajaan Kelantan mengumumkan membatalkan operasi Bazar Ramadan berikutan peningkatan kes positif Covid-19 yang naik secara mendadak.

Bagaimanapun bagi mengurangkan beban 2,500 peniaga yang sudah berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan memperuntukan RM1.5 juta bagi membantu mereka.

Selain itu wang deposit yang dibayar peniaga terbabit juga dikembalikan.

Mohd Zainuddin juga berkata, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelihatan banyak kenderaan membanjiri jalan-jalan raya di Kota Bharu.

Muhammad Farid Abdul Rahim, 38 pula berkata, pelaksanaan PKP di Kelantan merupakan kesan terhadap kedegilan rakyat mengikuti SOP ditetapkan kerajaan.

Apabila PKP dilaksanakan, katanya, semua pihak merasai kesannya apabila pergerakan rakyat menjadi terbatas.

“Pada pandangan saya pembatalan bazar Ramadan merupakan satu langkah tepat ketika kes positif Covid-19 di Kelantan makin meningkat setiap hari kebelakangan ini,” ujarnya.

Malah Wilayah Persekutuan dan Kedah juga kemungkinan mengambil tindakan serupa Kelantan apabila SOP di bazar Ramadan di negeri berkenaan didapati kurang dipatuhi orang ramai. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -