Pasukan projek pembinaan perlu serius isu keselamatan

Tangani aspek tersebut dari risiko penyebab tragedi seperti yang berlaku di Ibu Kota

- Advertisement -

SEPERTI mana yang pernah saya maklum sebelum ini bahawa pusat bandar yang semakin membangun dengan kerja-kerja pembinaan di ruang trafik telah memberi risiko yang tinggi kepada pengguna jalan raya. Tidak sampai sebulan berlaku lagi kemalangan struktur kren jatuh di Lebuhraya SUKE. Kes yang berlaku pada 8:30 pagi tersebut menyebabkan pemandu warga tempatan mengalami kecederaan parah manakala 3 orang pekerja projek pembinaan disahkan meninggal dunia.

Sudah tiba masanya perhatian yang serius perlu diberikan kepada projek berisiko tinggi bagi membendung supaya kemalangan sebegini tidak berlaku lagi untuk menyelamatkan beribu orang pengguna kenderaan jalan raya di Ibu Kota setiap hari. Pihak kerajaan perlu mempertingkatkan penguatkuasaan, manakala pasukan projek pembinaan perlu serius di dalam pematuhan kepada undang-undang dan peraturan berkaitan ketika menguruskan projek pembinaan.

- Advertisement -

Pihak kerajaan melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ada memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Pembinaan (Pengurusan) (OSHCIM) untuk panduan praktikal kepada klien, pereka dan pembina mengenai pengurusan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa melaksanakan projek pembinaan sesebuah struktur. 

Garis panduan ini adalah untuk pemegang kewajipan (sama ada orang yang menjalankan perniagaan atau pengusahaan termasuklah klien, pereka dan pembina) di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Akta Kilang dan Jentera. 

Maka disarankan agar pihak projek pembinaan melaksanakan elemen utama OSHCIM berikut:
a. Mengurus risiko dengan menggunakan prinsip pengurusan risiko dan pencegahan.
b. Melantik orang dan organisasi yang betul pada masa yang tepat.
c. Memastikan setiap orang mempunyai maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang diperlukan untuk melaksanakan kerja mereka dengan cara selamat.
d. Pemegang kewajipan saling bekerjasama dan berhubung antara satu sama lain dan menyelaras kerja mereka. 
e. Berunding dengan pekerja bagi menggalakkan langkah keselamatan yang berkesan.

Kesimpulannya diharap semua pihak jangan berpegang sangat kepada ungkapan ‘malang tidak berbau’. Walaupun sesuatu kemalangan atau kecelakaan boleh berlaku secara tiba-tiba, namun bagi pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan kami percaya bahawa kemalangan boleh dielak dengan membuat langkah pencegahan awal! 

Oleh:

TS. HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal 
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 23/3/2021

- Advertisement -