Isu keselamatan pengguna jalan raya di Ibu Kota

Susulan runtuhan perancah besi yang dalam pembinaan SUKE

- Advertisement -

KUALA Lumpur dikejutkan sekali lagi pada petang 3 Mac 2021 dengan peristiwa runtuhan perancah besi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE). Runtuhan ini menyebabkan lima mangsa terperangkap di bawah runtuhan tersebut yang terdiri daripada pemandu dan penumpang van kilang. Dikhabarkan kelima-lima mangsa sudah berjaya dikeluarkan dari runtuhan dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) untuk menerima rawatan lanjut. Masih terlalu awal untuk mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut boleh berlaku. Biarkan pihak yang berwajib menjalankan siasatan.

Namun di sini persoalan yang penting adalah isu keselamatan dan kesihatan pengguna jalan raya. Bagaimana kita perlu membendung supaya kemalangan sebegini tidak berlaku semula. Pusat Bandar yang semakin membangun dengan kerja-kerja pembinaan di ruang trafik sudah pasti akan mengundang risiko yang tinggi kepada pengguna jalan raya. Jika merujuk kepada David A. Colling di dalam bukunya bertajuk Industrial Safety: Management & Technology kita akan dapat melihat ada dua faktor utama penyebab berlakunya sesuatu kemalangan. Buku tersebut mendefinisikan kemalangan ialah:

- Advertisement -

‘Kejadian yang tidak terkawal atau tidak dirancang yang disebabkan oleh faktor manusia, situasi atau persekitaran yang boleh menyebabkan terganggunya proses kerja atau kecederaan atau kematian atau kemusnahan di tempat kerja.’

Di sini kita dapat lihat ada dua faktor utama penyebab kemalangan iaitu perilaku tidak selamat (unsafe act) dan keadaan tidak selamat (unsafe condition). Faktor ini bertepatan dengan Teori Domino yang diperkenalkan oleh Herbert W. Heinrich pada sekitar tahun 1930an. Heinrich juga mengambil keputusan untuk menyelidik rekod-rekod kemalangan dan menemui fakta bahawa hampir 90 peratus daripada kemalangan yang berlaku adalah berpunca dari perilaku kerja yang tidak selamat (unsafe act). Bakinya 10 peratus adalah disebabkan keadaan atau persekitaran tidak selamat (unsafe condition).

Saya yakin pihak berwajib akan menjurus kepada dua faktor utama penyebab kemalangan ini di dalam penyiasatan mereka dan akhirnya melihat kepada siapa yang bertanggungjawab. Sudah pasti banyak keperluan keselamatan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak bagi menjamin pengguna jalan raya. 

Berikut ialah antara keperluan perundangan, tatamalan industri, standard dan garis panduan yang berkemungkinan berkaitan dengan kes kemalangan yang perlu dipatuhi atau dipakai oleh pihak industri bagi menjamin keselamatan semua pihak:

a. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
b. Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).
c. Peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-kerja Binaan Kejuruteraan (Keselamatan) 1986.
d. Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan, 2010.
e. Guidelines of Occupational safety and health in construction industry management (OSHCIM) 2017.
f. Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
g. Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
h. CIDB Act 1994 (Akta 520).
i. Arahan Teknik Jalan, Jabatan Kerja Raya.
j. Garis panduan pelaksanaan pengurusan trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
k. MS ISO 39001 Road Traffic Safety (RTS) Management System.

Kesimpulannya, peraturan dan perundangan yang disediakan oleh kerajaan boleh dikatakan sudah mencukupi bagi menjamin keadaan atau persekitaran supaya lebih selamat. Namun cabarannya di sini ialah tindakan yang berbentuk perilaku dan tanggungjawab di dalam memenuhi kesemua tuntutan tersebut!

Oleh:

TS. SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal 
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -