
DAHULU ketika saya tamat SPM, saya juga pernah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran tinggi di Jordan. Namun, saya orang miskin. Orang susah. Mak saya minta saya hanya pergi ke universiti yang ada tajaan biasiswa, kalau tak dapat biasiswa terus kerja. Waktu itu saya dapat 6 tawaran tempat belajar (dalam dan luar negara) dan hanya Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) yang menawarkan tajaan pengajian, maka saya pilih UTP.
Alhamdulillah saya berkesempatan untuk mengiringi al-Fadhil Ustaz Kamal Ashaari, Mudir Kompleks Tahfiz Al-Quran al-Qaradhawi (KOMTAQ), al-Fadhil Ustaz Roslan Md Esa, Mudir al-Maahad Tahfiz al-Quran Darul Abrar merangkap Bendahari Pemuda PAS Malaysia dan al-Fadhil Ustaz Muhammad Shahrizan bin Md Esa, Pengasas Pusat Tahfiz al-Quran dan Pendidikan Islam al-Sakinah (MADINAH) ketika menghantar 6 orang pelajar mereka menyambung pelajaran ke Universiti Yarmouk, Jordan di KLIA.
Malam ini saya terharu dengan adik-adik ini yang dapat rezeki sambung belajar di Jordan. Tempat yang amat sesuai untuk mereka melazimi ilmu. Alhamdulillah dengan sedikit lebihan duit serta pengorbanan mak dan ayah adik-adik ini mereka dapat sambung belajar ke Jordan. Saya doakan keenam-enam adik-adik yang pergi ke Jordan ini menjadi mujaddid kepada Islam suatu hari nanti.
Saya pesan, kita belajar mestilah demi Islam. Kalau kita nak kaya kita tak perlu ke Jordan, kita boleh buat bisnes, kita boleh jadi ‘Youtubers’, ‘Influencers’ dan lain-lain. Tetapi kita bersusah payah pergi ke Jordan sebab apa? Sebab di sana ada ilmu.
Saya tak berpeluang belajar ilmu Syariah, Usul Fiqh, Usuluddin dan Hadis macam adik-adik ini. Saya hanya berpeluang belajar dalam bidang ‘Oil & Gas’. Ilmu yang adik-adik akan belajar inilah yang akan menyelamatkan masyarakat Malaysia di dunia hingga ke akhirat. Inilah tanggungjawab besar adik-adik di masa hadapan.
Balik nanti, bawalah segulung ijazah yang akan membanggakan mak dan ayah kita serta guru-guru kita. Balik nanti terus jadi pendakwah di lapangan masing-masing, berkerjalah untuk Islam. Insya-Allah, Allah akan bagi keselamatan kepada kalian di dunia dan di akhirat.
Kita adalah pelaburan kepada mak dan ayah kita. Kalau kita sayang mak dan ayah kita, kita tak perlu buktikan dengan air mata tangisan, tetapi kita hanya perlu menjadi mujaddid Islam yang faqih dalam agama. Inilah yang akan memberikan keuntungan kepada mak dan ayah kita di akhirat kelak. Itulah bukti terbaik bagi anak yang soleh dan anak yang sayangkan mak dan ayahnya.
Di akhir pertemuan saya sempat berpesan bahawa ketika bermusafir kita akan tempuhi dengan pelbagai kepayahan. Saya boleh bayangkan kegusaran adik-adik untuk berhadapan dengan imigresen di Qatar dan Jordan nanti. Insya-Allah ambil peluang ini untuk tingkatkan kemahiran berkomunikasi kita, insya-Allah Allah akan jaga dan pandu setiap langkah adik-adik.
Selamat bermusafir kepada semua bakal-bakal mujaddid Islam. Perjuangan Islam di tanah air akan sentiasa menanti kepulangan kalian. Belajarlah dengan tekun.
Siiru ala barakatillah.
YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 23/3/2021











