Kalimah Allah: Seruan Sultan Johor tepat

Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seruan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj kepada kerajaan Persekutuan agar meneruskan rayuan dalam prosiding penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam adalah tepat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata ia menjadi harapan kepada umat Islam di negara ini supaya barisan kehakiman yang bijaksana dapat memberikan keputusan menepati kehendak maksud asal kalimah tertentu dalam Islam.

Dr Ahmad Fakhruddin berkata, ia supaya kalimah Allah terpelihara maksudnya yang sebenar.

“Kalimah Allah adalah nama bagi Rabb, Tuhan sekalian alam. Allah bersifat Esa dan tidak ada sesuatupun yang setara dengan kedudukan atau menyerupai-Nya.

- Advertisement -

“Justeru, penggunaan kalimah tersebut mestilah menepati maksud seperti yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas,” ujar yang dihubungi Harakahdaily, pada Sabtu.

Sekiranya penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam tidak menepati maksud sebenar seperti yang dikehendaki Islam, beliau berkata tidak mustahil perkara tersebut cenderung mewujudkan kekeliruan maksud kalimah itu dalam kalangan umat Islam.

Pada Khamis, Sultan Ibrahim menzahirkan dukacita dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Baginda bertitah selaku Ketua Agama Islam Negeri Johor, baginda menyeru kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan dalam prosiding berkenaan.

Baginda bertitah akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan ini. – HARAKAHDAILY 20/3/2021

- Advertisement -