Kalimah Allah: Sultan Johor naungi kedaulatan Islam

PAS Negeri Johor sembah junjung kasih

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah S.W.T serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) merafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Sultan Johor, yang telah berkenan memberikan titah mengenai isu kalimah Allah.

- Advertisement -

PAS Johor menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Tuanku yang tegas menyatakan pendirian selaku Ketua Agama Islam bagi negeri dan jajahan takluk Johor, mempertahankan dan melindungi kedaulatan Islam, khususnya mengenai penggunaan kalimah Allah yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi membenarkan agama lain menggunakanNya. Pendirian Tuanku yang berdasarkan Fatwa Negeri Johor yang telah diwartakan pada 4 Jun 2009 mengenai perkara tersebut semestinya dihormati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat bangsa Johor yang berbilang agama dan kaum demi keharmonian.

PAS Johor juga menjunjung kasih dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas keprihatinan Tuanku dengan membenarkan semula kehadiran umat Islam ke masjid bagi menunaikan sembahyang berjamaah serta menjalankan aktiviti-aktiviti agama dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Ketegasan dan rasa tanggungjawab Tuanku terhadap isu-isu berkaitan agama Islam sememangnya sangat jelas dan konsisten. Isu mengenai status agama Islam rakyat Tuanku iaitu Saudari Illi Najwa Saddique yang telah melangsungkan perkahwinan dengan Kapten pasukan Hoki India, Manpreet Sigh Pawar juga telah mendapat sentuhan peribadi Tuanku dengan berkenan menerima mengadap beliau untuk menyelesaikan isu tersebut.

PAS sentiasa berdoa agar pemerintahan kepimpinan Tuanku di Negeri Johor akan terus berada di bawah naungan perlindungan dan rahmat Allah S.W.T serta diberi kemudahan, kekuatan dan kesejahteraan.

Sekian, Wassalam.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Makmur Johor, Johor Sejahtera”

USTAZ ABDULLAH HUSSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -