Tiada isu pilih MN atau PN – Kamaruzaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS terus komited menjadi orang tengah ke arah usaha untuk menyatukan semua pihak, khususnya Melayu-Islam di Malaysia.

Keputusan itu diambil hasil mesyuarat antara dua parti komponen kerajaan, PAS-Umno yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mesyuarat berkenaan khusus bagi membincangkan usaha-usaha ke arah pemerkasaan Muafakat Nasional (MN).

- Advertisement -

Jelasnya, MN merupakan asas penting demi penyatuan dan perpaduan kaum Melayu-Islam di negara ini, di samping bertujuan untuk mengelakkan berlakunya pepecahan undi dalam kalangan kaum majoriti tersebut.

“Keputusan mesyuarat malam tadi juga kita membincangkan perkara-perkara bagi memperkasakan MN di semua peringkat dengan pelaksanaan pelbagai program di setiap kawasan dan negeri,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Mengenai pilihan kerjasama PAS bersama MN dan Perikatan Nasional (PN), Kamaruzaman menjelaskan, pihaknya akan kekal konsisten menjadi pendamai bagi menyelesaikan perselisihan faham antara Umno dan Bersatu.

“Mesyuarat semalam kita bincang bagaimana untuk memperkukuhkan MN bukan untuk membuat keputusan sama ada nak kekal bersama MN atau PN.

“Jadi, insya-Allah isu PN itu bukan isu utama dalam perbincangan semalam kerana ia memerlukan forum yang lain,” ujarnya ringkas.

Pada 19 Februari lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Janda Baik, Pahang telah sebulat suara memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Parti itu turut memutuskan, kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -