Bina kekuatan, tumpu musuh sebenar – Dr Yunus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada PAS, Umno dan Bersatu perlu membina kekuatan persamaan dan mengenali musuh politik sebenar.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata muafakat politik ketiga-tiga parti Melayu itu di bawah PN perlu diperkukuhkan dan digembeling bersama untuk terus menerajui kerajaan bagi menghadapi PRU-15.

- Advertisement -

“PH (Pakatan Harapan) dan sekutunya adalah musuh politik kita! Menyedari hakikat bahawa kekuatan bersama parti-parti utama kerajaan hari ini, PAS, Umno dan Bersatu harus terus di gembeling bersama untuk terus berkerajaan, menghadapi PRU-15.

“Dalam masa yang sama membina kerajaan baru selepas PRU-15, semua parti dalam kerajaan PN perlu berlapang dada dalam membuat sebarang keputusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang berkata PN Selangor bersepakat untuk menghadapi PRU-15 melibatkan pertandingan dua penjuru.

Dalam pada itu, katanya PN mempunyai peluang cerah untuk menerajui kerajaan Selangor selepas PRU-15.

“PN Selangor sepakat untuk memungkinkan menghadapi PRU-15 (pertandingan) secara dua penjuru.

“Peluang kita cerah untuk menukar kerajaan PH di Selangor malah memberikan tambahan kerusi parlimen untuk menang 2/3 kerusi,” katanya.

Semalam, buat sekian kalinya komponen parti-parti PN peringkat negeri Selangor yang melibatkan PAS, Bersatu dan Gerakan duduk semeja bagi membincangkan pemantapan kerjasama berdasarkan perlembagaan PN.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi Bersatu Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari; Pengerusi Gerakan Selangor, Dato’ Ang Chin Tat, Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan.

Mengulas lanjut, katanya menerusi perbincangan itu banyak persamaan yang akan memberi kekuatan dalam pemerkasaan ini walaupun ada beberapa perkara bersifat perbezaan yang sememangnya ada jalan penyelesaiannya.

“Sebahagian besar perbezaan itupun hanya bersifat persepsi yang boleh dirungkai dengan perbincangan. Selagi kita kenal siapa musuh politik kita, kita akan terus perkasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -