Ustaz Dasuki menang saman ke atas Miqdad

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, semalam memenangi kes saman fitnah difailkannya terhadap Miqdad Zakaria berhubung penerbitan tulisan di dalam akaun Facebook.

Beliau telah hadir memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam bagi taksiran gantirugi ke atas saman fitnah terhadap Miqdad selaku Ketua Parti Amanah Negara (PAN) Marang.

Keterangan kes taksiran ganti rugi itu dibuat di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Puan Norina Maludin.

Mahkamah yang bersetuju dengan keterangan beliau selaku plaintif mengarahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM200,000 dan kos RM3,000 bagi kes pertama.

Bagi kes kedua pula, defendan diarah membayar ganti rugi am sebanyak RM200,000, ganti rugi teladan RM50,000 dan kos RM3,000.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Dusuki diwakili oleh firma Tetuan Srihana Mohamad & Partners melalui peguamnya Mohd Jamil Yaacob bersama Wan Srihana Wan Mohamad.

Dalam saman pertama, merujuk kepada tulisan Miqdad di dalam Facebooknya, “…sebab masa hidup suka sebar Hadis palsu…” di mana (‘kata-kata tersebut’) yang diterbitkan oleh defendan pada atau sekitar 22 April 2018 melalui Facebook milik defendan atas nama Miqdad Zakaria.

Saman kedua atas fitnah ke atas Miqdad dengan kata, “…Dasuku Al kazzab…” (‘kata-kata tersebut’) yang diterbitkan oleh defendan pada atau sekitar 14 Julai 2020 melalui Facebook milik defendan juga.

Sebelum itu plaintif pernah menghantar tuntutan kepada Miqdad bagi beliau membuat permohonan maaf pada 2 Oktober 2020 lalu tetapi tiada jawapan daripadanya.

Saman kes fitnah pertama dimasukkan pada 14 Oktober 2020 lalu.

Bagi kes kedua surat tuntutan juga pada 2 Oktober 2020 dan saman juga dimasukkan pada 14 Oktober 2020. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -