Sugarbook: ADUN Wanita Terengganu seru semua pihak prihatin

Zuraida (tengah) bersama Ketua Muslimat PAS Terengganu dan AJK Muslimat PAS Terengganu membuat laporan polis terhadap Sugarbook.com.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Semua pihak dan tidak terkecuali kepada ibu bapa sahaja diseru agar ‘cakna’ dan prihatin dengan isu tidak bermoral yang berlaku dalam kalangan anak-anak universiti.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Nor berkata, isu aktiviti tidak bermoral yang berlaku dalam kalangan pelajar universiti bukan perkara remeh lagi.

Katanya, gejala maksiat yang berlaku melalui pelbagai aplikasi sangat membimbangkan kerana boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

“Kami amat risau, sebab ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada anak-anak mereka. Tetapi, disebaliknya anak-anak menghancurkan harapan ibu bapa mereka.

“Sebenarnya, isu (sugar babby) ini bukan isu yang remeh. Ini isu yang penting dan saya berasa sangat risau dan bimbang gejala ini yang semakin berleluasa.

“Apa yang paling saya risau, jika ianya juga berlaku di Terengganu. Sebab, kita tahu masalah sosial ini sangat berleluasa dan yang paling ketara melibatkan maruah dan aktiviti maksiat, penzinaan yang akhirnya boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Justeru, kata beliau, sangat mengharapkan semua pihak agar mengambil tanggungjawab bagi membendung perkara mungkar itu dari berleluasa di negara ini.

“Saya sangat mengharapkan dan menyeru kepada semua rakyat Malaysia, khususnya rakyat Terengganu sendiri dan lebih khusus lagi kepada golongan wanita supaya lebih ‘cakna’ dan prihatin, dengan segala aktiviti-aktiviti apa yang anak-anak kita buat, terutama yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya sangat berharap kita semua dapat mengambil berat dan prihatin, bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga jiran tetangga dan masyarakat sekeliling.

“Mereka perlu mengambil tahu isu ini dan sama-sama kita memperjuangkan agar aplikasi seperti Sugarbook ini dapat dihapuskan dengan kadar yang segera, Insya-Allah,” jelasnya.

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan, akibat pandemic Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini menyebabkan, ramai pelajar universiti di Malaysia menggunakan sugar daddy melalui aplikasi Sugarbook, bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

Sebelum itu, laporan polis dibuat oleh Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman, kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Hadir sama di IPD Polis Kuala Terengganu itu, Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Raja Endun Raja Abdul Rahman dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Terengganu. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -