Perpaduan integrasi nasional

- Advertisement -

KATA-KATA Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra wajar dijadikan sebagai ‘kiblat perpaduan’ negara. Jika diperhatikan dengan teliti, visi Almarhum Tunku Abdul Rahman begitu jelas dalam menentukan hala tuju perpaduan negara dan rakyat. Dalam mengekalkan perpaduan nasional, pemimpin yang terdiri daripada ketua parti politik perlu menjadi ‘pemandu arah’ kepada masyarakat.

- Advertisement -

Ucapan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman ketika menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1969 berbunyi:-

• “Jika kita benar-benar mahu hidup sebagai satu keluarga dalam satu rumah bernama Malaysia, kita mesti ikhlas antara satu dengan lain – Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Dusun, Siam – Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain”.
• “Jika kita ikhlas maka kita tidak boleh berkata apa-apa yang akan menyakiti antara satu sama lain. Kita juga tidak boleh buat apa-apa yang menyusahkan hati orang lain”.
• “Sebagai ahli keluarga yang ikhlas, kita mesti selalu tolong-menolong sesama kita. Yang kaya tolong yang miskin. Yang maju tolong yang kurang maju”.
• “Dengan cara itu, barulah kita akan jadi satu bangsa dan negara yang bersatu padu dan kuat. Semua orang akan Bahagia. Barulah Malaysia dihormati oleh dunia”.

Atas peranan itu, maka IKATAN meletakkan asas tersebut sebagai satu tanggungjawab dan golongan belia sayap IKATAN iaitu Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menjadi antara yang bergerak seiring dengan asas tersebut.

Tidak dinafikan Malaysia ketika waktu kerajaan Pakatan Harapan, berada dalam keadaan yang perpaduannya yang dilihat semakin rapuh dan membimbangkan. Puncanya, kita rujuk kembali kepada amanat Tunku Abdul Rahman, “IKHLAS” itu kian pudar. Terjemahan “KELUARGA” pula merangkumi pelbagai etnik dan agama di Malaysia.

Perspektif – kerapuhan perpaduan

Persoalannya, kenapa perpaduan antara masyarakat pada hari ini semakin rapuh? Antara sebab utama adalah disebabkan keikhlasan sesama masyarakat kian terhakis dan hilang. Banyak prasangka buruk sesama rakyat dan sentimen polemik politik perkauman yang mengucar-kacirkan keadaan. Segelintir ahli politik telah menggunakan isu perkauman untuk survival politik sehingga mencetuskan rasa prasangka terhadap rakyat.

Beberapa petanda tidak sihat dapat dilihat waktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan ketika memerintah negara selama 22 bulan.

  • Isu Tanglung: Apabila isu hiasan tanglung di sebuah sekolah diprotes dan tujuh orang menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) ketika itu terpaksa turun ke sekolah untuk mempertahankan tanglung, keadaan sebegitu menjadi canggung. Semasa saya kecil, kita semua bermain tanglung dan bermain bersama-sama dengan kawan-kawan berbangsa Cina. Tindakan tujuh menteri turun ke sekolah untuk menyelamatkan tanglung tidak produktif.
  • Isu Jawi: Cadangan Kementerian Pendidikan untuk memasukkan 3 muka surat pembelajaran dan pengenalan jawi di dalam subjek Bahasa Melayu mendapat tentangan hebat oleh sesetengah pihak. Rakyat boleh bezakan apabila isu jawi diasak oleh Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) dan pemimpin bukan Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu pula senyap. Ini menyebabkan orang Melayu marah. Walhal, perkataan jawi yang diajar adalah perkataaan yang ada di Jata Negara (Bersekutu Bertambah Mutu), pada duit (Bank Negara dan Ringgit Malaysia), dan nama negara kita dalam jawi (Malaysia).
  • Isu Allahyarham Adib: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa memberi peringatan tegas supaya tidak sesekali mengaitkan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, dengan isu perkauman. Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, terpaksa membuat komen tegas bahawa kematian Allahyarham dikategorikan sebagai kes jenayah dan bukan akibat kebencian perkauman. Malangnya, beberapa Menteri berbangsa India pada ketika itu, terus mengeluarkan komen pra-matang yang berbaur perkauman, jelas tidak membantu keadaan.

Perspektif – perkasa perpaduan

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggariskan sebanyak tiga perkara untuk memperkasa perpaduan di negara kita melalui integrasi nasional: –

i) Toleransi antara kaum: Keamanan dan perpaduan dapat dicapai apabila semua pihak perlu bersikap terbuka. Seruan kami kepada orang Melayu, kita kena berubah dan kita tidak lagi bersentimen. Orang Melayu di negara kita sinonim dengan agama Islam. Kita perlu faham bahawa agama kita mengajar soal toleransi dan dalam al-Quran jelas disebutkan bahawa kita perlu menghormati penganut agama lain dan menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka. Sebagai orang Islam, kita perlu menunjukkan akhlak yang berpandukan Al-Quran, jangan pula mengikut perasaan, yang akhirnya memberikan gambaran negatif kepada Melayu dan Islam. Jika perangai orang Islam itu hodoh, maka orang bukan Islam akan memandang serong agama dan bangsa kita. Keikhlasan sesama kaum adalah penting bagi mewujudkan perpaduan sesama kita.

ii) Pendidikan membentuk perpaduan: Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari.

iii) Memperkasa keadilan ekonomi: Pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat adalah penting untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara.

Prinsip-prinsip asas dasar-dasar kerajaan yang telah dilaksanakan tetap kekal seperti asal walaubagaimanapun, kerajaan perlu mencari kaedah baru yang berbeza sebagai pendekatan kepada anak-anak muda kerana ia perlu disesuaikan dengan perubahan masa.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong penuh usaha Menteri Perpaduan dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan Perdana Menteri Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

Penulis ialah Dewan Pemuda IKATAN Malaysia.

- Advertisement -