Haramkan Sugarbook, bercanggah gaya hidup Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat ke atas aplikasi Sugarbook yang didakwa mempromosikan gaya hidup tidak bermoral dan mempunyai unsur pelacuran.

Naib Presidennya, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata aplikasi ini perlu disekat dan diharamkan di negara ini kerana bertentangan dengan gaya hidup Islam.

“Setakat ini pihak KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) telah mengambil tindakan untuk menyiasat perkara ini. Memanglah setakat ini mereka (beberapa pihak IPT) menafikan pelajar mereka terlibat dengan aktiviti sugar daddy,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau tidak menafikan memang sukar untuk mengesan tetapi ia sudah menjadi satu hebahan dan ini sangat memalukan negara di pandangan dunia.

- Advertisement -

Tambah Ustaz Idris lagi, sebelum ini beliau telah membangkitkan isu yang sama apabila wujudnya paparan iklan di Bangsar yang mempromosikan aplikasi berkenaan.

“Saya telah bangkitkan sebelum ini (19 Disember 2019) ketika itu zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah berkenaan kewujudan papan iklan (Sugarbook) di Bangsar. Kita menjangkakan waktu itu hanyalah satu kegiatan untuk melanggan pelacur melalui aplikasi, rupanya yang ramai terlibat adalah terdiri daripada kalangan pelajar IPTA dan IPTS.

“Apa pun, sama ada pelajar atau orang awam sekali pun, aplikasi ini patut diharamkan di negara kita dan harap pihak SKMM mengambil tindakan tegas untuk memastikan gejala ini tidak berlaku,” tegasnya.

Menurutnya, perkara ini sangat membimbangkan dalam suasana Covid-19 yang melanda negara ditambah pula dengan aktiviti tidak bermoral yang berlaku.

“Kita bimbang sekarang suasana Covid-19 yang berlaku Allah tidak makbul doa kita disebabkan perkara mungkar sebegini.

“Ibarat kita letakkan baja di tangan kanan, dalam masa yang sama di tangan kiri kita letak racun akhirnya pokok itu mati. Kita tidak mahu wujudnya kemurkaan Allah,” katanya.

Statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari sugar daddy, dengan peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran penggunaan baharu dipercayai akibat desakan hidup ketika Covid-19.

Malaysia dilaporkan berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia, selepas India dan Indonesia bagi negara mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook. – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -