Mengapa komen jelek, bukan lawatan peribadi PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) berpendapat segelintir rakyat Malaysia perlu dinasihati dan diberi peringatan ketika menggunakan platform media sosial, terutamanya dalam keadaan sebahagian negeri masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa penularan Covid-19 bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut menular merentas negara dan benua.

- Advertisement -

“Satu contoh yang ramai dapat perhatikan adalah komen ataupun cercaan seorang netizen terhadap lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Indonesia di atas jemputan Presiden Republik Indonesia yang berjalan pada 4 hingga 5 Februari yang lepas.

“Lawatan tersebut merupakan lawatan yang penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia, yang merangkumi pelbagai perkara utama termasuklah usahasama menangani Covid-19.

“Ianya bukan lawatan peribadi mahupun untuk bercuti. Ia adalah menjalankan tugas negara.

“Sudah tentu menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menjalankan tugas sebaiknya demi menjaga nama baik negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, Pejabat Perdana Menteri juga telah menjelaskan dengan terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan lawatan tersebut.

Jelasnya, ia melibatkan jumlah rombongan yang minimum, menggunakan pesawat kerajaan, ahli rombongan tidak dibenarkan ke tempat-tempat lain, melakukan swab test, kuarantin dan sebagainya yang berkait dengan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Malangnya terdapat beberapa golongan yang tidak bertanggungjawab memberikan komentar yang mencemarkan imej negara dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sangat memalukan, kata beliau.

“Komen-komen menggunakan perkataan jelek ini sebenarnya secara langsung menunjukkan tiadanya penghayatan kepada prinsip Rukun Negara kita, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Di manakah kesopanan dan kesusilaan tersebut apabila komen-komen perkataan jelek ini digunakan?” soal beliau.

Malah kata Mohd Roslan, dalam masa sama terdapat juga para netizen yang seakan tidak menghormati Istana Negara apabila dengan beraninya ‘menyerang’ pentadbiran kerajaan melalui Facebook rasmi Istana Negara.

Ini memberi indikasi bahawa mereka tidak menghormati kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri, katanya lagi.

Mengulas lanjut, kata beliau, perkara sedemikian jika dibiarkan boleh merosakkan sistem kemasyarakatan negara dengan kebebasan tanpa batasan yang seakan tidak mempunyai sistem kawalan.

Katanya, sepatutnya semua lapisan masyarakat dapat menjiwai Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan yang seharusnya menjadi teras utama rakyat negara ini.

Sehubungan itu, PINTAR ingin menasihatkan para netizen supaya lebih berhemah dan menjaga setiap perkataan yang diungkapkan.

PINTAR juga menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan yang perlu bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai implikasi yang mereka terpaksa hadapi sekiranya tidak mengawal amarah dan emosi terutama ketika memberikan komen-komen dalam laman sosial, ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -