PKP: Panggilan video sambut Tahun Baru Cina

- Advertisement -

KANGAR: Zakiah Abdullah atau nama asalnya See Peng Peng, 62, memberitahu setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, beliau pulang menemui keluarga asal walaupun sudah lama menganut Islam.

Bagaimanapun katanya, kali ini tidak lagi dapat pulang ke kampung disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan wabak.

- Advertisement -

“Jadi saya merancang untuk membuat panggilan video untuk turut sama meraikan bersama keluarga,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan keperluan harian di Perumahan Rakyat Taman Sena di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perlis (LPNPs), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Zakiah juga berkata, beliau gembira menerima sumbangan tersebut biarpun tidak dapat meraikan samnbutan Tahun Baru Cina bersama keluarga di Kedah.

Sofiah Abdullah

Sofiah Abdullah, 60, juga berasal dari Kedah berkongsi perasaan hiba kerana tidak dapat meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarganya di kampung.

Bagaimanapun, beliau akur dengan wabak yang berlaku sekarang. Sofiah sudah lama bermastautin di Perlis, namun sentiasa terkenang keluarga di Kedah.

Zakiah Abdullah.

Pada program tersebut seramai 21 keluarga penduduk kurang berkemampuan menerima sumbangan berkenaan.

Pengerusi LPNPs, Saad Seman berkata perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia bukan suatu perkara yang mudah dicapai dan sudah pasti ia mengambil masa yang lama.

Menurutnya perpaduan tersebut perlu dipertahankan dan dijaga dengan baik sampai bila-bila.

“Semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian kaum yang kita kecapi selama ini.

“Semoga sumbangan yang diberi dapat meringankan beban mereka sempena menyambut Tahun Baru Cina pada Jumaat dan Sabtu ini,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Kangar Wan Hassan Ismail, Ketua Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Perlis, Kamariah Kasim dan Setiausaha MACMA Kedah dan Perlis, Annysha Abdullah. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -