MAJLIS Profesor Negara (MPN) menyedari terdapat kenyataan yang tular konon sumbernya daripada MPN berkaitan Proklamasi Darurat 2021 oleh kerajaan baru-baru ini. MPN ingin menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi tersebut. Justeru itu kenyataan yang tular itu adalah berita palsu.
MPN telah mengadakan mesyuarat melibatkan Pakar-pakar Perlembagaan, Sains Politik dan lain-lain untuk meneliti dan memperhalusi perkara-perkara berkaitan Proklamasi Darurat itu. Pandangan dari para profesor adalah pelbagai berdasarkan sudut pandang dan keilmuwan dan kebitaraan masing-masing.
Sesungguhnya MPN sebagai sebuah badan yang mewakili para ilmuwan negara, menerima dan menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong memperkenan Proklamasi Darurat 2021 demi menangani Pandemik COVID-19 secara lebih berkesan. Namun, pihak MPN melalui mesyuarat tersebut turut membangkitkan beberapa isu yang mungkin boleh diberikan perhatian khususnya sistem semak dan imbang serta ketelusan dalam pemerintahan negara sepanjang tempoh darurat itu dikuatkuasakan.
MPN mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk bersama-sama menentukan tempoh darurat yang dilalui ini dapat benar-benar memenuhi matlamat untuk menangani wabak COVID-19 serta kesan-kesan negatif berkaitan dengannya. MPN juga tegas menekankan agar tumpuan harus juga diberikan agar agenda ekonomi terus dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat terus diperlihara.
PROF DATUK DR RADUAN CHE ROSE
Presiden
Majlis Profesor Negara
14 Januari 2021 – HARAKAHDAILY 14/1/2021