Jamin kelangsungan ekonomi, bela punca rezeki rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelbagai sektor ekonomi dan ekosistem kewangan tetap dibuka walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di beberapa negeri, demikian kata, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, kerajaan memberi jaminan itu kepada semua rakyat Malaysia dan para pelabur serta menegaskan tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan mahupun ekonomi terus terbela.

“Kita akan menjaga punca rezeki rakyat sebaiknya. Saya memahami bahawa keadaan yang kita hadapi adalah di luar jangkaan.

- Advertisement -

“Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi di dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya.

Kementerian Kewangan (MoF) juga akui beliau, turut memberi jaminan bahawa ekosistem kewangan negara masih berdaya tahan dan mempunyai sistem pengurusan dan pengawalseliaan yang kukuh.

“Anda masih boleh pergi ke bank dan institusi kewangan bagi menguruskan simpanan dan pelaburan anda seperti biasa. Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan akan memudahcara dan memastikan keadaan pasaran kekal kondusif dan teratur dalam tempoh tersebut.

“Dan saya jamin, bahawa ekosistem kewangan kita berdaya tahan dan mempunyai sistem pengurusan dan pengawalseliaan yang kukuh,” katanya membentang laporan LAKSANA ke-36.

Menurutnya, dalam matlamat memperkasakan rakyat, Intensif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan setakat 1 Januari lalu berjaya mendapatkan pekerjaan kepada 128,779 orang termasuk perantis dan orang kelainan upaya (OKU).

Manakala program kemahiran dan peningkatan antaranya melibatkan kursus keusahawanan dan pendigitalan telah meluluskan pengambilan seramai 133,936 individu terutama golongan belia.

Beliau turut menyenaraikan perincian untuk matlamat melonjakkan perniagaan yang memenuhi pelbagai sektor dan segmen dengan peruntukan besar dilulus dan dipermudahkan kerajaan kepada pemohon berkelayakan.

Dalam matlamat merangsang ekonomi, Tengku Zafrul menyenaraikan pengecualian 100 peratus duti eksport kepada sektor komoditi dan pengecualian cukai perkhidmatan hotel serta pelepasan cukai jualan kenderaan penumpang.

Manakala 11.06 juta penerima pula nyata beliau, mendapat manfaat Bantuan Prihatin Nasional 2.0 melibatkan pemberian RM2.38 bilion, selain Geran Khas PRIHATIN 2.0 dan Program Subsidi Upah 2.0 bagi menggaji 445,255 pekerja.

Turut disentuhnya adalah kemudahan bantuan bayaran balik pinjaman bagi mangsa banjir di seluruh negara, selain nasihat untuk rakyat berhati-hati dengan sindiket penipuan (scammer) yang semakin berleluasa dan berani. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -