Hantar bantuan makanan guna rakit tradisional

- Advertisement -

KUANTAN: Beberapa penduduk Kampung Bukit Kuin, di sini, mengambil inisiatif membina rakit tradisional yang diperbuat daripada buluh, bagi menghantar bekalan makanan ke tempat-tempat yang terputus perhubungan akibat banjir.

Rakit itu dibina menggunakan kayu buluh yang ditebang dalam jumlah antara 11 dan 13 batang mengikut kesesuaian saiz rakit dikehendaki.

Penduduk kampung, Ismail Ali, 56, berkata inisiatif berkenaan diambil kerana kebanyakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang membawa bekalan bantuan makanan tidak dapat menghantar bekalan kerana air banjir yang mengalir deras, selain menghadapi kesukaran menentukan kedalaman air.

- Advertisement -

Beliau berkata rakit tradisional itu digunakan bagi membawa bekalan makanan yang disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Banyak kawasan kampung ini dinaiki air setinggi paras dada dan terputus bekalan dengan kawasan pekan. Kenderaan 4WD tidak mampu untuk meredah banjir yang mampu menghanyutkan kenderaan NGO yang datang,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya ada bantuan makanan yang dihantar menggunakan rakit tradisional ini mengharungi perjalanan sejauh hingga 1.5 kilometer untuk sampai kepada penerima bekalan.

“Jika tempat sasaran itu jauhnya lebih daripada 1.5 kilometer, kami tidak berani ambil risiko kerana risau rakit kami ditolak air sehingga ke tepi lalu hanyut, jadi kami kena tunggu hingga air tenang baru boleh bergerak menghantar bekalan makanan. Setiap rakit akan dikemudikan oleh dua pengemudi,” katanya.

Ismail berkata rakit tradisional yang dibina mestilah kukuh dan mampu menampung berat bekalan makanan antara 100 dan120 kilogram, tidak boleh lebih daripada itu.

Beliau berkata NGO yang datang memberi bantuan tidak berani mengambil risiko meredah air banjir menggunakan kenderaan mereka sekiranya banjir deras dan paras air tinggi. – BERNAMA

- Advertisement -