Tiada lagi ‘pesta banjir’ di Tambatan Di Raja

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai tidak lagi dibenarkan beramai-ramai keluar melihat perkembangan banjir khususnya di Tambatan Di Raja dan Menara Tinjau bagi mengekang penularan Covid-19.

Sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) ditempatkan di kawasan berkenaan.

Ketua Jajahan Kota Bharu Rosnazli Amin berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian bagi menjaga keselamatan rakyat agar penyakit berjangkit itu tidak menular.

Katanya, sebelum ini kerajaan tidak pernah melarang orang ramai keluar meninjau perkembangan banjir yang berlaku setiap tahun.

- Advertisement -

“Bagaimanapun dengan mengambil kira situasi Covid-19 yang semakin meningkat sekarang, dan Kota Bharu sebagai zon merah, tindakan itu perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan rakyat.

“Kita juga berharap penduduk di Kota Bharu khususnya mengamalkan normal-normal baru yang ditetapkan kerajaan bagi membantu mengekang penularan wabak,” ujarnya.

Sebelum ini Tambatan Di Raja dan Menara Tinjau sering menjadi lokasi tumpuan penduduk tempatan yang keluar beramai-ramai seolah-olah pesta bah musim tengkujuh.

Malah di lokasi itu juga sebelum ini ramai peniaga mengambil kesempatan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!