Ketepikan perbezaan, utamakan kebajikan rakyat – MCM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (MCM) menyeru ahli-ahli politik mengenepikan kepentingan kuasa politik dan fokus kepada kebajikan rakyat di negara ini.

- Advertisement -

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, rakyat seharusnya menjadi keutamaan di dalam waktu-waktu getir sebegini.

“Dalam keadaan negara sedang dilanda pandemik Covid-19, ekonomi negara pun dalam keadaan gawat, malah sesi persekolahan hendak dibuka, rakyat sedang susah ketika ini.

“Sepatutnya fokus kepada kebajikan rakyat dulu, barulah fikir nak pilihan raya ke apa.

“Bagi saya, mereka yang mengejar kedudukan dan kuasa ini tidak mampu bertahan lama dan sangat merugikan kerana rakyat Malaysia sudah bijak dalam membuat perhitungan,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpendirian bahawa prinsip yang jelas perlu ada dalam diri setiap individu, lebih-lebih lagi yang membawa suara rakyat untuk didengari.

“Misalnya, prinsip PAS ataupun parti-parti lain yang berjuang untuk banteras rasuah perlu dicontohi kerana membawa prinsip yang jelas iaitu hapuskan rasuah.

“Tetapi sekarang ini berbeza. Senario politik di negara ini ada yang mencerminkan hanya mementingkan kuasa sahaja, orang yang terpalit dengan rasuah pun kalau boleh diberikan kemenangan untuk menjadi pemerintah,” tambahnya.

Ujarnya, perubahan yang dibawa oleh para pemimpin PAS terutama yang berada di pucuk pimpinan tertinggi kerajaan perlu dicontohi akan kebertanggungjawabannya dalam melaksanakan amanah yang dipikul.

“Apa yang dilakukan pimpinan PAS sangat bagus sebagaimana impaknya dapat dirasai oleh rakyat.

“Contohnya, kenaikan harga bahan komoditi seperti sawit dan getah, malah ketika beberapa negeri di negara dilanda masalah air pun menteri sendiri turun padang dan lihat sendiri.

“Sama macam orang biasa, tak kira darjat sangat, sama macam orang ‘blue collar’ yang buat kerja, dia pun turun sekali untuk melihat denyut nadi rakyat,” katanya.

Beliau turut memuji pendirian dan keberanian sikap seorang pemimpin yang dipamerkan baru-baru ini dengan berprinsipkan mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan.

“Dalam hukum fiqh, kalau tak mampu nak buat kesemuanya, buatlah mana yang kita mampu, jadi kebaikan macam itulah yang kita kena buat.

“Bila berlaku pertembungan antara penilaian manusia dan Sang Pencipta maka takutlah dengan penilaian-Nya.

“Jadi walaupun apa yang kita lakukan itu dipandang hina di mata manusia tetapi tidak pada pandangan Dia, maka teruskanlah, itu namanya prinsip Islam,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan empat mata secara tertutup bersama Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan, pertemuan itu adalah bagi membincangkan perkembangan terkini politik semasa terutama membabitkan kedudukan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Pendirian dan kedudukan UMNO dalam kerajaan PN sekali lagi menimbulkan persoalan apabila 142 Ketua Bahagian UMNO di seluruh negara menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Hampir semua Ketua Bahagian mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid dipercayai bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

Ia susulan Mesyuarat Bahagian parti itu yang berlangsung hujung minggu lalu mengusulkan supaya UMNO tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU akan datang.

Langkah itu diperkukuhkan lagi dengan keputusan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Difahamkan, peletakan jawatan itu berkait dengan polemik politik yang berlaku ketika ini khususnya membabitkan hubungan kerjasama antara Umno, Bersatu serta PN. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -