Bina jambatan alternatif perhubungan mangsa banjir

- Advertisement -

RAUB: Penduduk di Kampung Lenchar dan beberapa kawasan sekitar Ulu Dong dekat sini yang terputus hubungan selepas jambatan menghubungkan kampung itu dengan Pekan Ulu Dong runtuh, kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan sementara dijangka siap dibina malam ini.

Satu-satunya jambatan yang menghubungkan penempatan 500 penduduk di kawasan berkenaan runtuh akibat hakisan tanah berikutan arus deras Sungai Dong pada Ahad lepas, menyebabkan mereka terputus hubungan hampir lima hari, manakala laluan lain yang ada, sangat jauh.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembinaan jambatan jenis ‘Compact Bailey 200’ itu nanti akan dapat menghubungkan jalan antara Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong dan bandar Raub. 

- Advertisement -

Menurutnya pembinaan jambatan sepanjang 26 meter dan lebar 7.35 meter itu mengambil masa antara lapan hingga 12 jam, yang dilaksanakan oleh Anggota 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD). 

“Kita jangkakan jambatan ini akan boleh digunakan bermula pukul 8.00 malam ini dan penduduk tidak perlu bimbang kerana jambatan ini boleh menanggung berat sehingga 60 tan. 
 
“Jambatan ini akan terus digunakan sehingga jambatan baharu yang kekal siap dibina,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan jambatan sementara itu hari ini, dan turut hadir bersamanya ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Ismail Sabri berkata perancangan untuk jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang runtuh akan mula dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Pahang pada Februari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata keanggotaan dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga, dan ketika ini 5,000 anggota tentera telah digerakkan secara berperingkat selain aset seperti jentera berat, bot dan helikopter ke kawasan terjejas akibat banjir. 

“Kita sentiasa bersedia, helikopter pun sudah sedia jika ada kecemasan untuk hantar mangsa yang sakit. Untuk jambatan Bailey pula, ATM ada 10 unit disediakan untuk banjir dan satu daripadanya kita guna di sini,” katanya. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof turut melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Raub hari ini.
 
Ketika ditemui pemberita di sini beliau berkata, selain memastikan agihan bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan menerusi semua agensi terlibat juga kini fokus kepada inisiatif membantu penduduk terjejas untuk kembali ke rumah mereka. 

“Menerusi lawatan ke kawasan dilanda banjir seperti hari ini, kita akan dapat pantau lokasi terjejas dan mengatur jenis bantuan yang boleh disalurkan selepas banjir,” katanya dan menambah bantuan disumbangkan bagi memastikan mereka yang terjejas boleh kembali menjalani kehidupan mereka pasca banjir.

Peranan penting ATM sebagai barisan hadapan memang tidak dapat disangkal lagi, apabila pasukan itu menjadi antara yang terawal menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang melanda beberapa negeri, terutamanya di pantai timur dan selatan tanah air.

Selain menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas, anggota tentera turut bersengkang mata lebih 15 jam bagi membina jambatan sementara yang memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk di Kampung Lenchar, Ulu Dong, di sini.

Jambatan Jalan Lenchar di Ulu Dong yang menjadi nadi utama penduduk setempat dan menghubungkan tiga kampung dan perumahan PRIMA Lenchar, runtuh akibat banjir, Ahad lepas.

Ketua Jurutera RAJD, Mejar Jen Datuk Chapiti Redzwan berkata kerja pemasangan panel jambatan sementara itu melibatkan 50 anggota daripada 91 Rejimen Bantuan yang bermula 12.30 tengah malam tadi.

“Pembinaan jambatan sementara atau ‘compact bailey‘ dianggarkan memakan masa antara lapan hingga 15 jam dan dijangka siap sepenuhnya 8 malam ini,” katanya kepada Bernama selepas meninjau kerja pemasangan jambatan sementara itu di Kampung Lenchar, Ulu Dong, di sini hari ini. 
 
Chapiti berkata pergerakan kerja anggota untuk pemasangan jambatan itu tidak akan berhenti kecuali keadaan cuaca seperti hujan lebat berterusan sehingga boleh berlakunya banjir di kawasan itu. 

“Walaupun hujan lebat, kita tetap akan bekerja tapi mungkin ada halangan dari sudut faktor cuaca dan keadaan jalan kerana melibatkan kren untuk pembinaan ini,” katanya.

Beliau berkata penduduk boleh menggunakan jambatan yang berkapasiti 60 tan itu bermula malam ini sekiranya semuanya berjalan dengan lancar. 

“Walaupun jarak runtuhan tersebut membabitkan tujuh meter daripada runtuhan asal  tetapi kita menyediakan jambatan sejauh 24 meter supaya kawasan tanah yang terdedah kepada hakisan dapat dikurangkan risiko dan lebih selamat,” katanya. 

Beliau menambah, jambatan Compact Bailey 200 adalah jambatan peralatan yang dibekalkan Majlis Keselamatan Negara kepada Tentera Darat secara guna sama yang boleh dipasang sementara ataupun kekal dan ia sangat sesuai dibina bagi menghubungkan jalan perhubungan yang terputus, jika berlaku bencana alam. – BERNAMA

- Advertisement -