Kerajaan negeri pantau keperluan mangsa banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri meminta supaya kerja-kerja menyelamat mangsa banjir tidak dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pemindahan penduduk terlibat banjir wajar dilaksanakan sebelum Maghrib bagi memudahkan kerja-kerja tersebut.

Katanya, mangsa banjir hendaklah berpindah sebelum waktu malam bagi mengelakkan kesukaran termasuk berlaku sesuatu yang tidak diingini.

- Advertisement -

“Jika pemindahan selepas Maghrib kerja-kerja menyelamat berdepan dengan banyak risiko.

“Kemungkinan bot penyelamat pun susah hendak dikendalikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian watikah pelantikan ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin dan Yang Dipertua MPKB-BRI Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Sehingga jam 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan seramai 5,324 orang membabitkan 1,402 keluarga.

Mereka ditempatkan di 72 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di beberapa jajahan yang terbabit dengan banjir.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau keperluan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS terbabit.

“Bantuan kepada mangsa banjir diagihkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -