‘Electric Vehicle Roadmap’ sedang dimuktamadkan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang memuktamadkan dokumen ‘Electric Vehicle Roadmap’ bagi motosikal, kenderaan persendirian, teksi dan kenderaan berat yang dijangka siap pada suku pertama 2021.

Menterinya Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Electric Vehicle Roadmap itu adalah antara sebahagian inisiatif yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) yang dilaksanakan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata LCMB menetapkan 10 strategi bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada sektor pengangkutan dan menggalakkan mobiliti aktif.

- Advertisement -

Tuan Ibrahim berkata KASA juga melaksanakan beberapa inisiatif yang menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon, antaranya Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) dan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon (LCCMP).

“LCCF melibatkan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merancang pembangunan bandar ke arah rendah karbon untuk mengurangkan impak alam sekitar dan pelepasan GHG khususnya di peringkat perbandaran yang merangkumi sektor pengangkutan, tenaga, sisa, pembuatan dan air,” katanya.

Beliau berkata LCCMP pula bertujuan menetapkan trajektori pelaksanaan perbandaran rendah karbon dan ia ( LCCMP) dibangunkan untuk memperkukuhkan pelaksanaan bandar rendah karbon di PBT dari sudut kerangka institusi dan tadbir urus.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata Kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor dikemukakan dalam dua kertas Jemaah Menteri pada 23 Disember lepas, yang mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Malaysia dalam menangani masalah perubahan iklim dengan memainkan peranan bersama masyarakat dunia ke arah pembangunan rendah karbon.

Katanya beliau membentangkan dua kertas Jemaah Menteri mengenai Laporan Dwitahunan Ketiga (BUR3) Malaysia kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC) dan Pengukuhan Tadbir Urus Perubahan Iklim Negara semasa mesyuarat Kabinet itu.

Tuan Ibrahim berkata Laporan BUR3 memuatkan inisiatif dan langkah mitigasi pelepasan GHG di peringkat Kebangsaan membabitkan sektor perhutanan, tenaga dan sisa.

“Untuk meningkatkan tindakan mitigasi pelepasan GHG, kerajaan sedang meneliti dan meneroka potensi baharu bagi melaksanakan tindakan mitigasi tambahan dalam sektor seperti tenaga boleh baharu, pengangkutan elektrik, dan pengurusan sisa,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata KASA selaku kementerian utama yang memacu agenda perubahan iklim negara akan memperkukuhkan tindakan mitigasi selari dengan obligasi dan komitmen negara untuk menangani isu perubahan iklim di bawah UNFCCC. – BERNAMA

- Advertisement -