RM2.1 bilion pinjaman Kerajaan Pahang dihapus kira

- Advertisement -

KUANTAN: Pinjaman Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM2.1 bilion dipersetujui Kerajaan Persekutuan dihapus kira menerusi Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pahang, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Pinjaman itu maklumnya, melibatkan bekalan air luar bandar berjumlah RM1 bilion dan bakinya ialah novasi pinjaman kerajaan negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang akan membangunkan aset air di Pahang melalui pendekatan bina dan pajak kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

- Advertisement -

Menurut beliau, pembayaran sewa pajak aset air oleh PAIP kepada PAAB akan distruktur semula untuk tempoh 45 tahun pada kadar kompetitif berbanding pembiayaan komersial, iaitu 3 peratus bagi aset sedia ada dan 4.5 peratus untuk aset baharu. 

“PAIP akan diberikan moratorium bayaran sewa pajakan selama lima tahun untuk membantu mereka membina asas kewangan yang kukuh sebelum membayar sewa kepada PAAB.

“Perjanjian ini juga membolehkan rakyat Pahang mendapat perkhidmatan air lebih baik selain mengurangkan kerugian akibat kehilangan air yang dirawat,” katanya dilapor Bernama.

Tuan Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu antara Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Perjanjian yang turut ditandatangani bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAAB, Abdul Hadi Ali dan CEO PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari juga dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini semalam. 

Tuan Ibrahim juga memaklumkan bahawa Pahang merupakan negeri kelapan memeterai perjanjian itu yang dipersetujui selepas proses rundingan selama tujuh tahun bermula 2013, dengan Kedah dan Perlis dijangka mengikut langkah sama pada Januari ini. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata tempoh panjang rundingan itu ekoran kerajaan negeri memohon beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap beberapa perkara dalam perjanjian itu, sehingga membawa kepada penubuhan pasukan khas bagi memperhalusi perkara itu. 

“Manfaat utama ialah baki hutang kerajaan negeri kini lebih kecil, selain rakyat dapat menikmati perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan baik pada masa akan datang, dengan proses penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat,” katanya. 

Wan Rosdy berkata tempoh 45 tahun pembayaran sewa pajak itu juga membolehkan kerajaan negeri tidak perlu bimbang terhadap keperluan menyediakan peruntukan besar untuk menampung kos penyelenggaraan aset air kerana terletak di bawah PAAB.

Jelas beliau, ia sekali gus membolehkan wang tersebut disalurkan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. 

Mereka padang sidang media itu juga memaklumkan, sebanyak tiga perjanjian telah dimuktamadkan bagi maksud menyempurnakan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang setelah melalui proses rundingan selama tujuh tahun.

Terdahulu, Dato’ Sri Tuan Ibrahim dalam ucapannya pada majlis itu berkata, pengurusan air di Malaysia telah melalui proses penstrukturan semula pada tahun 2005 di mana banyak perkara berkaitan aspek bekalan dan perkhidmatan air telah dipindahkan daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama.

Perubahan tersebut jelasnya, ekoran berlaku pindaan terhadap Jadual Sembilan (9), Perlembagaan Persekutuan, di mana kuasa berkaitan sumber air pula termasuk memastikan kelestarian dan kebersihan sungai serta bebas daripada pencemaran masih kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
 
“Berteraskan kepada prinsip perkongsian tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, maka Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air telah diperkenalkan untuk memastikan kemapanan jangka masa panjang.

“Kemapanan ini akan dapat direalisasikan apabila syarikat operator air mencapai pemulihan kos penuh (full cost recovery) dan berupaya mewujudkan jaminan kelangsungan perkhidmatan air yang berkualiti kepada pengguna pada kadar tarif yang kompetitif.
 
“Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Pengurusan Aset Air Berhad telah ditubuhkan bagi melaksanakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sepertimana yang diperuntukkan dalam Senarai Bersama, Perlembagaan Persekutuan.
 
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara bertanggungjawab untuk mengawal selia syarikat operator air yang dimiliki hampir sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Diperbadankan,” jelasnya.

Manakala Pengurusan Aset Air Berhad pula katanya, bertanggungjawab untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi membangunkan infrastruktur air berdasarkan pendekatan ‘bina dan pajak’ atau dengan izin ‘build and lease’.
 
Kerajaan Persekutuan juga maklum beliau, turut bersetuju membiayai pembangunan projek sumber air seperti empangan, takungan air pinggiran sungai dan baraj, projek tebatan air dan mitigasi banjir.

“Serta projek pengurusan pantai menerusi pemberian geran kepada negeri-negeri yang telah memuktamadkan penstrukturan industri perkhidmatan bekalan air.
 
“Peruntukan untuk projek bekalan air luar bandar juga disediakan dalam bentuk geran di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -