Jambatan lama siap namun tidak boleh diguna

- Advertisement -

GUA MUSANG: Peliknya jambatan konkrit yang merentasi Sungai Nenggiri di Kampung Bertam dekat sini sudah beberapa bulan siap dibina, namun masih tidak boleh digunakan sehingga sekarang.

Sedangkan jambatan itu merupakan laluan utama penduduk yang menghubungkan Kampung Bertam Lama dan Kampung Bertam Baru.

Penyelia DUN Nenggiri, Saupi Ab Razak berkata, berikutan masalah itu penduduk terpaksa menggunakan jambatan sementara yang diperbuat daripada besi.

- Advertisement -

Bagaimanapun kata beliau, jambatan sementara itu rosak pula gara-gara arus banjir yang deras berlaku dua hari lalu.

“Tebing jambatan sementara runtuh kerana berlaku tanah mendap ekoran hujan lebat.

“Penduduk hanya ada satu pilihan sekarang dengan menggunakan jambatan kereta api yang hanya boleh dilalui sebuah motosikal pada satu-satu masa,” katanya di sini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang berkata, penduduk terpaksa bergadai nyawa menggunakan jambatan kereta api untuk keluar membeli keperluan harian di Gua Musang.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan menyelesaikan segera kesukaran tersebut terutamanya jambatan baharu yang sudah lama siap namun masih tidak boleh digunakan.

Kata beliau juga, sebelum ini terdengar ura-ura jambatan baharu berdepan masalah-masalah pengambilan tanah yang dikatakan belum selesai. – HARAKAHDAILY 23/12/2020

- Advertisement -