Bukan anak negeri boleh beli rumah di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membenarkan orang Melayu bukan kelahiran negeri itu membeli rumah pada Pameran Perumahan dan Hartanah Malaysia (MAPEX) peringkat negeri yang akan berlangsung di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan bermula 26 hingga 28 Disember ini.

Pengerusi MAPEX Kelantan, Datuk Samsuri Awang Mat berkata keistimewaan itu yang membolehkan mereka membeli kediaman tanpa kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagaimanapun tertakluk kepada syarat kelayakan. 

- Advertisement -

Antara syaratnya ialah beristerikan atau bersuamikan anak Kelantan, atau bekerja dengan kerajaan atau agensi kerajaan di Kelantan, atau mempunyai pertalian mengikut waris terdekat dengan anak Kelantan. 

“Pada masa sama, kerajaan turut memberikan pengecualian bayaran pendaftaran pindah milik  dan bayaran pendaftaran gadaian bagi pembeli rumah mampu milik buat kali pertama.

“Pembeli rumah kediaman juga boleh turut menikmati insentif-insentif yang diberikan kerajaan Malaysia melalui Kempen Pemilikan Rumah 2020 hingga 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Samsuri yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan berkata selain itu, insentif yang diberikan termasuk pengecualian penuh bayaran duti stem pindah milik rumah kediaman berharga kurang RM1 juta dan surat perjanjian pinjaman bernilai dibawah RM2 juta. 

“Insentif-insentif ini diberikan untuk pembelian rumah kediaman yang didaftarkan dalam kempen tersebut,” katanya.

Dianggarkan sebanyak 3,000 unit hartanah dan rumah pelbagai jenis termasuk rumah teres, berkembar, banglo, pangsapuri serta lot kedai akan ditawarkan pada MAPEX itu, katanya, menambah pameran disertai 16 pemaju.

“Pihak kami turut menjangkakan akan berlaku peningkatan yang mendadak untuk harga-harga rumah yang akan dilancarkan dalam masa terdekat kerana akan banyak berlaku perubahan dalam industri perumahan akibat penularan COVID-19,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -