Bekas pengawal Tok Guru meninggal dunia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas pegawal keselamatan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Kelantan Mohd Azuddin Che Hassan, 66, meningggal dunia kira-kira jam 12 malam tadi di rumahnya, di Pasir Mas.

- Advertisement -

Sebelum ini arwah menderita sakit buah pinggang dan masalah saraf sejak lebih dua tahun lepas. Malah arwah sering keluar masuk hospital.

Jenazahnya turut diziarahi Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Menteri Besar mengimami solat jenazah yang diadakan di Masjid Kampung Kasa selepas solat Zohor, di sini, hari ini.

Turut hadir, anggota-anggota Exco, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Dato’ Hanifa Ahmad dan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.

Kira-kira 200 penduduk tempatan termasuk sahabat rapat arwah dan wakil rakyat menghadiri solat jenazah tersebut.

Arwah juga pernah berkhidmat menjaga keselamatan bekas Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Abang arwah, Salahudin Che Hassan, 69 berkata, pemimpin PAS sentiasa memberikan sumbangan kepada arwah di kediamannya di Kampung
Kasa sejak terlantar sakit.

“Selama arwah sakit Menteri Besar sering menziarahi serta menyampaikan sumbangan untuk menampung kos perubatannya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Merlong, Lemal Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -