Penjelasan MOT tidak mengikut skrip YB DAP

- Advertisement -

SETINGGI penghargaan buat Ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 bagi Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini.

Hari ini Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi undi belah bahagian. Setelah undian dikira, sebanyak 109 undi menyokong manakala 94 tidak menyokong.

Pada pagi tadi, saya terserempak dengan seorang Ahli Parlimen PKR dan beliau berbisik dengan saya bahawa beliau sudah mendapat mesej dari pihak atasan bahawa DAP akan mengusulkan undi belah bahagian semasa Belanjawan 2021 bagi MOT hendak diputuskan.

- Advertisement -

Erti kata lain, ianya merupakan skrip yang telah dirancang oleh DAP, parti yang akan mengadakan pemilihan parti pada 20 November 2020 bagi melantik Setiausaha Agung DAP yang baru. Andai kata usul DAP berjaya, mungkin ia dijadikan sebagai penanda aras atau bahan kempen untuk calon mendapatkan sokongan dalam pemilihan parti akan datang. 

Sebelum pengundian hari ini, YB Seremban (DAP) kata dia bangun untuk minta undi belah bahagian kerana saya tak menjawab soalannya. Loke tanya soalan spesifik di dalam butiran Belanjawan seperti peruntukan RCVEP Selatan dan Utara sebanyak RM6 juta dan RM10 juta, peruntukan untuk pengangkutan bandar RM521 juta, saya menjelaskan satu per satu termasuk peruntukan RM500 juta untuk Projek RTS Link.

Tetapi, persoalan mengenai isu kabotaj yang beliau bangkitkan telah berkali-kali saya jawab semasa Perbahasan Peringkat Dasar di Dewan Rakyat pada 24 November yang lalu. Ya tak ya, kalau dia tidak bersetuju dengan dasar kabotaj, kenapa beliau tak berani berdiri untuk meminta undi belah bahagian ketika Dewan Rakyat hendak memutuskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar pada 26 November lalu?

Hari ini perbahasan di peringkat jawatankuasa mengenai butiran-butiran projek MOT secara spesifik, maka saya hanya ikut peraturan dengan menjawab apa yang patut. Takkan saya nak jawab mengikut skrip atau citarasa YB Seremban baru dia nak puas hati?

Sebab itu saya suruh beliau bertenang dan mengatakan, ‘sabar itu sebahagian daripada iman’. Menjerit-jerit di dalam dewan bukanlah cara untuk menegakkan kebenaran. Saya sudah kata, bacalah kenyataan Persatuan Saudagar Kapal Malaysia (MASA) dan memahami apa yang dituntut oleh pemilik-pemilik kapal Malaysia ini.

“Dasar (kabotaj) ini turut diamalkan 91 buah negara tetapi pelik apabila ada pihak di Malaysia ‘marah’ kerajaan memansuhkan peraturan itu walhal ia amat baik untuk negara kita sendiri,”

https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/salahkah-masa-pertahan-hak-negara-daripada-dimonopoli-singapura/

Pengusaha kapal Malaysia juga tertakluk kepada dasar kabotaj di negara jiran. Hari ini MOT dituduh membantu sebuah syarikat Malaysia memonopoli kerja pembaikan kabel dasar laut. Apa cerita ini? Dulu Anthony Loke sendiri kata tiada syarikat Malaysia yang mampu dan setelah MASA membuktikan kepakaran ahlinya iaitu Optic Marine yang sudah berkecimpung di dalam bidang ini selama 37 tahun, Anthony Loke UBAH pula kenyataan kata monopoli. Pakar U-turn betul!

Hello Anthony Loke, sejak berpuluh-puluh tahun hanya terdapat satu syarikat pembaikan dan pemasangan kabel dasar laut di Amerika Syarikat, China dan Korea. Anthony Loke tak perlu mengadu mengenai monopoli di negara-negara tersebut.

Saya menegaskan bahawa MOT mendukung pembangunan ekonomi digital tetapi kepentingan rakyat dan Negara Malaysia perlulah diutamakan. Sekiranya ada kepakaran, kenapa tidak diberi peluang kepada Ahli MASA? Kalau tiada kepakaran tempatan, ianya dibuka kepada kapal asing. MOT juga akan memastikan sistem e-DSL tidak melambatkan proses pembaikan kabel dasar laut.

Apa-apa pun terima kasih juga saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang telah membangkitkan persoalan serta mengemukakan cadangan masing-masing ketika mengambil bahagian dalam perbahasan ini.

Sudah tentu saya dan warga MOT akan melakukan yang terbaik untuk industri pengangkutan Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya. Kerajaan 13 – 0 Pembangkang

YB DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -