Ahli PAS-Umno kena bertenang, sekat DAP

- Advertisement -

SUASANA politik sehari dua ini agak membahang. Lebih-lebih lagi bila Umno Perak bertindak melucutkan MB Perak dan dikatakan bersedia membentuk kerajaan negeri bersama PAN dengan sokongan DAP.

Suka saya ingatkan Ahli PAS dan Ahli Umno yang masih sayangkan MN agar bertenang dan jangan turut ribut. Kita ahli yang dekat bawah ini ok sahaja. Walaupun tidak dapat apa-apa ahli bawah tak rasa apa-apa kerana memang dah biasa tak dapat apa-apa. Yang susah hati dan ribut ialah orang di atas yang sentiasa dapat apa-apa. Bila sekali tak dapat macam kiamat rasanya. Jadi ribut yang berlaku hanya peringkat atasan sahaja.

Kata setengah pemerhati politik Umno dah serpih. Ada yang sayangkan MN dan ada yang sudah mula mendampingi PH khususnya Anwar. Bagi saya tak hairan pun. Berlaku retak dan belah dalam mana-mana parti itu adalah proses biasa dalam politik dan perjuangan. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِیَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ عَلَىٰ مَاۤ أَنتُمۡ عَلَیۡهِ حَتَّىٰ یَمِیزَ ٱلۡخَبِیثَ مِنَ ٱلطَّیِّبِۗ

“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik.”

[Aal-E-Imran: 179]

PAS pernah terbelah, sehingga wujudnya PAN. Begitu juga Umno, PKR dan BERSATU. Itulah proses saringan Allah. Supaya nanti yang baik-baik dalam PAS hanya bergabung dengan yang baik-baik dari Umno, yang baik-baik dari BERSATU dan yang baik-baik dari PKR. Gabungan orang yang baik-baik itu sebenarnya akan lebih berkat dan akan lebih jitu arah perjuangannya. Ketika gigi akan tercabut memang kita rasa sakit. Tapi bila sudah tercabut kita akan rasa bersyukur.

Kepada rakan-rakan dalam Umno. Jangan ditangisi mereka yang dah pergi dan sedang berkira-kira nak pergi. Kita yang ada ini terus eratkan ukhuwwah. Agenda utama kita ialah penyatuan Ummah yang nantinya akan dapat menyekat PH atau DAP kembali berkuasa. Jangan hanya kerana memburu pangkat dan harta kita sanggup menyerahkan negara ini kepada musuh agama dan musuh bangsa. Saya yakin kalaupun ada pimpinan Umno yang berminat dengan PH dan DAP, jumlahnya tidak ramai. Umno tidak akan lemah dan runtuh kerana ketiadaan mereka. Sebagaimana PAS yang sedikit pun tidak mengalami apa-apa kerugian dengan keluarnya beberapa orang pimpinannya yang kemudiannya menubuhkan PAN. Bahkan kini PAS bersyukur kepada Allah. Kerana cuba bayangkan jika segelintir pimpinan PAN itu masih berada dalam PAS. Sudah tentu sangat menyusahkan PAS.

Allah tidak mentakdirkan suatu ke atas hambaNya melainkan suatu yg terbaik. Kerana Allah akan menggantikannya dengan suatu yang lebih baik. Dengan syarat kita bersabar dan tahu mengambil iktibar.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -