NGO rayu benarkan kuliah agama di Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: NGO merayu Majlis Agama Islam dan Adab Melayu (Maidam) Terengganu membenarkan aktiviti dan program keagamaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Sebanyak lapan NGO Islam Terengganu memohon rayuan melalui satu memorandum dihantar kepada Maidam, semalam.

- Advertisement -

Memorandum rayuan itu bagi menyaran dan mencadangkan pertimbangan pihak Maidam berkaitan arahan tersebut.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Institusi Pendidikan Islam Terengganu (Rabitah), Ustaz Muzaihar Kamal Mustapa Kamal berkata, pihaknya menyaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan Maidam mempertimbang program agama dibenarkan dalam tempoh PKPB.

Kata beliau sekurang-kurangnya kuliah Maghrib dibenarkan kurang daripada satu jam waktunya dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada.

Menurutnya, saranan dan cadangan itu di atas dasar bahawa penularan Covid-19 di negeri Terengganu masih lagi dalam keadaan terkawal.

“Di Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dibenarkan kuliah berjalan sedangkan semua negeri berkenaan juga di bawah PKPB dikuatkuasakan.

“Kami yakin dan percaya ahli qariah yang hadir ke masjid dan surau adalah mereka yang paling patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Kami juga yakin usaha mengimarahkan masjid dan surau dalam keadaan negara dilanda Covid-19 ini adalah usaha yang baik demi meraih kerahmatan, keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.

Selain Maidam, kumpulan NGO Islam Terengganu itu juga menyerahkan memorandum rayuan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) dan Majlis Keselamatan Negara (KMN) Terengganu.

Sehubungan itu, kata Ustaz Muzaihar, rasionalnya program pengajian atau kuliah di surau dan masjid diteruskan mengikut SOP.

Antara wakil NGO Islam yang hadir menyerah memorandum Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (Pakat), Ustaz Ahmad Tirmizi Taha dan Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Terengganu (PUM), Ustaz Ibrahim Tahir. – HARAKAHDAILY 14/11/2020

- Advertisement -