Bagaimana cara Rasulullah S.A.W berniaga?

- Advertisement -

BAGAIMANAKAH cara Nabi menjual barang-barang dagangan Baginda sehingga sangat laku dan cepat habis serta telah mendatangkan keuntungan yang banyak pula itu?

- Advertisement -

Mengikut riwayat, Nabi menjual barang-barang Baginda tidak seperti cara yang diamalkan oleh kebanyakan peniaga atau lain-lain saudagar ketika itu. Baik peniaga Arab atau bukan Arab. Biasanya para peniaga kebanyakannya mereka menjual barang-barang dagangan dengan cara meletakkan harga yang setinggi mungkin. 

Tetapi Nabi menjualnya dengan cara:
(1) memberitahu harga pokok dan meminta para pelanggan atau pembeli membayar berapa harga yang mereka kehendaki. Dengan cara ini pembeli merasa puas dan senang hati kerana mereka merasa tidak tertipu oleh peniaga. Lalu mereka membeli dengan larisnya sehingga barang-barang Nabi paling laku dan cepat habis berbanding rakan-rakan baginda yang lain.

(2) Selain itu Nabi juga mengambil sikap menjual modal apabila si pembelinya seorang yang benar-benar miskin tetapi memerlukan kepada barang itu. Baginda amat bertimbang rasa dan amat pengasihan belas kepada sesama manusia. Manakah ada manusia yang menjual barang-barang dagangannya dengan harga modal? Biarlah orang nak lapar dan mati. Biarlah orang nak telanjang kerana tak ada kain untuk menutup badannya asalkan dia tidak sekali-kali rugi di dalam perniagaannya. Sikap ini walau sebesar zarah tidak ada tercalit di dalam hati Nabi Muhammad S.A.W yang mulia lagi suci.

(3) Satu lagi daya penarik yang luar biasa yang telah menarik para pembeli untuk mendekati barang-barang Nabi ialah sikap dan wajah Baginda semasa berjualan itu. Selaku seorang insan yang sedia dijadikan oleh Allah berwajah kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman kepada orang, maka Nabi telah menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda itu.

Dengan wajah yang manis dan menawan Baginda tidak pernah melenyapkan ukiran senyuman kepada para pelanggan baginda. Apabila wajah yang kacak menawan dihiasi pula dengan senyuman yang manis, pastilah keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah seseorang itu semakin bertambah. Walaupun tutur kata tidak seberapa, tetapi para pelanggan tetap menggemari orang yang berwajah manis dan selalu memberi senyuman kepada orang.

Inilah harta kekayaan Nabi yang telah Baginda gunakan ketika berniaga di negeri taklukan Rom itu. Berniagalah ikut cara Nabi kita.

Namun, hari ini  boleh dikatakan rata-rata kebanyakan peniaga berniaga secara online. Sudah tentu caranya juga berbeza tetapi masih mempunyai persamaan.

Jika Nabi banyak tersenyum semasa bertemu dengan pelanggannya, peniaga online juga boleh tersenyum menggunakan emoji senyuman semasa perbualan dengan pelanggan mereka melalui aplikasi WhatsApp dan sebagainya. Dengan cara itu, ianya masih lagi sama dengan cara Rasulullah walaupun penjual online tersebut tidak berpeluang bertemu pelanggan. Itulah perbezaannya.

Jika Rasulullah S.A.W memberitahu harga pokok dan meminta para pelanggan atau pembeli membayar berapa harga yang mereka kehendaki, mengapa tidak dilakukan juga oleh peniaga online? Di sinilah terujinya kejujuran peniaga itu. Tepuk dada tanya iman, sama ada peniaga masih nak fikirkan mengenai keuntungan yang lumayan atau sebaliknya.

Jika Nabi kita banyak bersedekah dan menolong pelanggannya semasa ketiadaan wang tetapi masih memerlukan barangan tersebut maka peniaga online juga boleh melakukan sedemikian. Masih lagi sama dengan cara Rasulullah kan?

Tiada alasan untuk kita mengatakan dulu lain kini lain. Kini zaman sudah moden. Itu cuma alasan semata-mata. Bak pepatah,”Hendak seribu daya tak nak seribu dalih.”

Apapun, setiap peniaga perlu tanamkan niat terlebih dahulu. Apabila awal-awal lagi dah dipasangkan niat bahawa hendak berniaga mengikut cara Nabi, maka Allah akan bantu dorongkan peniaga itu ke jalan yang telah diniatkan. In sya Allah. Usaha perlu dipertingkatkan. Bak pepatah, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Rujukan: Buku Riwayat Rasulullah S.A.W – Sejarah dan perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W (Edisi Lengkap)

UMMU ANAM KHAIR – HARAKAHDAILY 14/11/2020

- Advertisement -